[VIDEO] Azizulhasni Awang alami kemalangan ketika sesi latihan


  • Podium
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Azizulhasni merupakan antara atlet yang diletakkan harapan mampu membawa pulang pingat emas ketika Olimpik Paris 2024.

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dilaporkan mengalami kemalangan serius ketika dalam sesi latihan di Velodrom Nasional, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Perkara itu dikongsikannya menerusi satu hantaran di laman X peribadinya berserta sebuah video pendek serta penjelasan daripadanya.

"Saya hanya mahu berkongsi kepada orang ramai bahawa pada Sabtu, saya terlibat dalam kemalangan berkelajuan tinggi akibat masalah mekanikal.

"Kemalangan itu berlaku di selekoh pertama sebuah velodrom dengan saya ketika itu sedang mengayuh dengan pantas untuk mengejar motosikal di dalam trek," ciapnya.

Azizulhasni, atau lebih dikenali sebagai 'The Pocket Rocketman' sedang dalam usaha untuk menaikkan lagi taraf kecergasannya untuk beraksi ketika Olimpik Paris 2024.

Dia merupakan antara atlet negara yang diletakkan harapan untuk meraih pingat emas dalam temasya sukan tersebut selepas bertahun-tahun bergiat secara aktif.

Dalam satu ciapan berlainan, Azizulhasni bagaimanapun mengatakan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius meskipun mengetahui risiko yang boleh dihadapinya.

WhatsApp Image 2023-09-16 at 14.14.30

Azizulhasni dikerumuni rakan sepasukan serta staf kejurulatihannya. Twitter/Azizulhasni Awang

"Saya bersyukur kemalangan ini tidak menjadi lebih teruk kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan parah. Setiap kemalangan yang berlaku bukanlah satu gurauan. Alhamdulillah, ALLAH sudah selamatkan saya," tulisnya.

Jun lalu, Azizulhasni berjaya memenangi pingat emas dalam kategori keirin dan pecut Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Negeri Sembilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram