Penang FC minta satu nama selesaikan tuduhan jersi cetak rompak


  • Podium
  • Isnin, 06 Feb 2023

Bagaimanapun, masih tidak dikenal pasti jersi yang mana satu dimaksudkan oleh pengguna Facebook itu. — Facebook/PenangFC

PENANG FC meminta satu nama daripada pengguna Facebook, Inter Johor Firms yang mendakwa bahawa terdapat seorang individu daripada pihak pengurusan terlibat dalam aktiviti cetak rompak jersi Harimau Kumbang.

Dalam kenyataan bertulis pada Ahad, Penang FC mengganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh pengguna berkenaan adalah satu bentuk helah muslihat perang saraf media untuk melaga-lagakan pihak pengurusan Harimau Kumbang.

Pihak Penang FC juga risau jika disebabkan tuduhan berkenaan, setiap individu dalam pihak pengurusan mulai melahirkan rasa syak wasangka sesama sendiri dan menggoyah keyakinan orang luar terhadap Penang FC.

"Dengan itu, kekeluargaan yang harmoni dalam Penang FC akan bergoncang. Taktik semacam seperti ini sudah basi. Datanglah ke pejabat Penang FC demi kebenaran. Dalam Akta Whistle Blower, pemberi maklumat akan dilindungi.

"Jika tuduhan terlalu umum dan rambang sebegini, Penang FC lebih memilih untuk mengekalkan sangka baik sesama sendiri selagi mana tiada siapa yang mahu tampil untuk memberi keterangan. Semua warga Penang FC berhak mendapat perlindungan daripada tuduhan kosong seperti ini.

"Sama-samalah kita menginsafi ingatan Tuhan dalam Surah Al Hujurat yang mafhumnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan," tulis laman rasmi Penang FC.

Tambah kenyataan berkenaan, dakwaan tersebut juga dikhuatiri mempunyai maksud tersirat sehingga membawa maksud berbeza bagi pembaca khususnya penyokong Haria Penang Haria.

"Dalam hal ini, bukan soal integriti Penang FC yang dibimbangi, tetapi nilai-nilai ketelusan si penulis berdasarkan latar belakangnya yang lebih dikhuatiri mempunyai maksud tersirat bagi pembaca yang tidak dapat mengerti apa tujuan di sebalik tuduhan umum itu.

"Boleh jadi, si penulis berpandukan suatu entiti yang lain untuk dijadikan bandingan sebagai fakta terkait," tulisnya.

Dalam masa sama, pembekal dan pengeluar jersi skuad Harimau Kumbang untuk musim 2023, Kaki Jersi turut mengulas akan tuduhan yang dilemparkan itu.

Tegas mereka, tiada kemungkinan penipuan dan cubaan cetak rompak itu berlaku kerana tiada pihak yang mempunyai akses untuk mendapatkan reka bentuk digital jersi baharu mereka.

"Tiada blueprint atau yang lebih tepat, soft copy design tidak pernah diberikan kepada mana-mana pihak. Ingin kami maklumkan pihak Kaki Jersi dan Penang FC bersama-sama dengan pihak berwajib akan berkempen dalam membanteras jualan jersi cetak rompak," katanya.

Terdahulu, pengguna akaun, Inter Johor Firms membuat dakwaan bahawa terdapat seorang individu yang bekerja dalam pihak pengurusan Penang FC membuat akviti cetak rompak jersi.

Dia menuduh bahawa individu berkenaan terlebih dahulu mencetak jersi Penang FC pada 1 Februari sebelum pihak pengurusan melancarkan jersi rasmi skuad Harimau Kumbang pada 5 Februari lalu.

posting

Komen dari pengguna Facebook tersebut. — Facebook/PenangFC

"Penang Football Fans Club nak habaq mai. Walaupun kami ini lanun jahat dari selatan, tapi kami bukan lanun cetak rompak. Benda ini muda, yang print cetak romapk ini memang kerja dia makan duit haram. Tapi yang paling haram jadah ialah individu yang ada di dalam Penang FC itu yang serah bulat-bulat blueprint jersi kalian dengan lanun cetak rompak.

"Cerita lebih kurang macam ini. Si Ali (individu di Penang FC) pemegang amanah untuk hal ehwal jersi pasukan. Dari A sampai Z, dia yang urus. Ditetapkan oleh pengurusan 5 Februari lancar jersi, pada 1 Februari si Ali ini dah bagi blueprint jersi di syarikat cetak baju. Dia bukan saja-saja, dia jual benda itu dengan amaun yang tinggi.

"Si malaun ini tak nak tahu berapa banyak jersi dicetak, yang penting dia dapat habuan dia. Kesimpulannya sini dalam pengurusan sendiri tiada ketelusan dan kejujuran. Mungkin ada tiga empat orang macam Ali dalam Penang FC. Sila siasat dan lapor ke SPRM," tulis dakwaan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram