Dhabitah optimis mampu beraksi pelbagai acara terjun


  • Podium
  • Khamis, 11 Ogos 2022

Dhabitah Sabri (kiri) dan Muhammad Syafiq menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi dalam acara 3m papan anjal seirama campuran akhir sempena Sukan Komanwel 2022 di Birmingham. — Bernama

ATLET terjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri optimis mampu menggalas tugas beraksi dalam pelbagai acara bagi sukan terjun pada masa depan.

Malah atlet berusia 23 tahun itu yakin setelah mampu melakukan persiapan terbaik selain turut menampilkan prestasi cemerlang di Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini.

"Sebelum ini memang kami tak cukup penerjun nak menggantikan tapi alhamdulillah dulu memang sudah berlatih untuk dua acara iaitu platform dan papan, sekarang saya hanya buat acara apa yang mereka beri pada saya.

"Bagi saya, saya hanya buat semua ini untuk negara. Saya buat sementara masih muda tapi untuk acara individu saya akan pertimbang sebab kalau terlalu banyak acara saya rasa tak mampu buat," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada Rabu.

Nur Dhabitah sebelum ini berjaya peroleh dua pingat perak menerusi acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita bersama pasangannya, Wendy Ng Yan Yee dan individu 3m papan anjal wanita di Birmingham 2022.

Atlet dari Kuala Lumpur itu juga turut menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 3m papan anjal seirama campuran bersama gandingannya, Muhammad Syafiq Puteh. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram