KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan empat negara akan dipertimbangkan untuk bergelar penganjur Piala Asia 2023.
Empat negara tersebut adalah Korea Selatan, Qatar, Australia dan Indonesia dan semua negara anggota terbabit harus menghantar permohonan rasmi kepada AFC sebelum 31 Ogos ini, sebelum tuan rumah sebenar diumumkan oleh badan bola sepak Asia itu pada pertengahan Oktober.
Tidak dinafikan, Qatar dan Korea Selatan antara dua negara yang pernah dan akan menganjurkan Piala Dunia adalah pilihan utama untuk menjadi venue Piala Asia 2023, mengambil kira fasiliti berkelas dunia yang mereka miliki.
Tetapi sekiranya diberi peluang untuk memilih tuan rumah dalam kalangan empat negara tersebut, Indonesia mungkin adalah negara yang paling sesuai buat anak buah Kim Pan-gon berdasarkan 3 faktor berikut:
Jika Indonesia jadi pilihan, Harimau Malaya tidak perlu berada di luar negara untuk tempoh lama. — Agensi
1. Persiapan lebih mudah
Disebabkan faktor budaya dan cuaca yang hampir sama dengan negara ini, maka barisan pemain Harimau Malaya dijangka tidak mengalami sebarang masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di Indonesia.
Situasi ini sekali gus memberikan kelebihan kepada pasukan negara yang tidak perlu mengambil masa menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu berbanding sekiranya kejohanan diadakan di Korea Selatan, Qatar atau Australia.
Keadaan ini akan mempermudahkan Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan pasukan negara mempersiapkan pemain.
Situasi ini bermakna skuad Harimau Malaya tidak perlu berada di luar negara untuk tempoh yang lama untuk melakukan persiapan kerana kem latihan di dalam negara dianggap sudah memadai.
Kos perjalanan lebih murah dan ia menggalakkan lebih ramai penyokong pasukan negara hadir memberi sokongan. — Agensi
2. Kesenangan buat penyokong
Sekiranya Indonesia dipilih oleh AFC untuk menganjurkan Piala Asia 2023, ia boleh dianggap sebagai rahmat untuk penyokong atau ‘ekor Harimau Malaya’.
Dengan kos perjalanan yang lebih murah, ia akan menggalakkan lebih ramai penyokong pasukan negara hadir memberikan sokongan di Indonesia.
Situasi ini dianggap lebih sukar sekiranya kejohanan tersebut diadakan di Korea Selatan, Qatar atau Australia.
Malah kos penerbangan dan penginapan di sebahagian venue di Indonesia lebih murah berbanding penerbangan dan pelancongan di dalam negara.
Skuad B-19 negara turut muncul juara Piala AFF B-19 sebanyak dua kali masing-masing pada 2018 dan 2022. — Facebook / FAM
3. Harimau Malaya sering mendapat kejayaan di Indonesia
Tidak keterlaluan sekiranya kita melabel Indonesia sebagai venue bertuah buat Harimau Malaya. Sejak menjuarai Piala AFF 2010 di negara tersebut, Malaysia turut menjuarai beberapa kejohanan peringkat serantau lain di negara jiran itu.
Selain memenangi pingat emas Sukan SEA 2011, skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee turut pernah mencipta kejutan menewaskan Korea Selatan 2-1 di Sukan Asia pada 2018 di Indonesia.
Selain itu skuad B-19 negara turut muncul juara Piala AFF B-19 sebanyak dua kali masing-masing pada 2018 dan 2022.
Ia mungkin sukar membayangkan Malaysia muncul juara Piala Asia 2023, tetapi kita semua pasti mahu melihat pasukan negara melalui kempen yang baik di kejohanan ini.
Berdasarkan tiga fakta di atas, ini bermakna Indonesia harus menjadi pilihan utama pasukan negara untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2023.
Mengapa perlu pergi jauh sekiranya rekod terdahulu membuktikan pasukan negara mampu melakukan yang terbaik di Indonesia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram