PENGENDALI Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan 'ancaman' dua tonggak import Kedah Darul Aman (KDA) FC pada pertemuan pusingan kedua Piala FA, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Rabu.
Menurut Nafuzi, kelibat penyerang import baharu KDA FC, Ronald Ngah Wanja dan Mahmoud Mardi sememangnya amat digeruni lawan kerana dikenali dengan ketajaman penyudah berserta susuk fizikal yang besar dan tinggi.
Beliau menggesa pemainnya supaya kekal fokus dan mengelak kesilapan kecil yang boleh menyebabkan mereka dihukum dengan kekalahan.
"Kemasukan tonggak import baharu Kedah berjaya memperkemas skuad Sang Kenari terutama di bahagian serangan.
"Malah, mereka (KDA) kini berada pada tahap terbaik dan semakin yakin selepas berjaya melepasi peringkat kumpulan Piala FC dengan menang bergaya tempoh hari," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Bagaimanapun di sebalik kebimbangan tersebut, Nafuzi berasa sedikit lega kerana pasukannya bakal beraksi di laman sendiri pada Rabu.
Katanya, sokongan penyokong bola sepak negeri amat diperlukan bagi menghadapi perlawanan peringkat kalah mati.
"Saya akui permainan di tempat sendiri bukan jaminan untuk kita menang apabila berdepan dengan pasukan kuat seperti Kedah, tetapi saya tetap mengharapkan keajaiban di SSMZA pada Rabu," katanya.
Ketika ditanya mengenai kesebelasan utama yang akan membarisi skuad Penyu pada Rabu, beliau berkata, perkara tersebut masih belum diputuskan dan masih menilai tahap kecergasan pemain yang masih keletihan akibat jadual perlawanan yang padat.
"Untuk posisi penjaga gol, saya mungkin terpaksa mengetepikan Rahadiazli Rahalim kerana kecederaan bahu dan bek kanan, Azam Azmi Murad yang mengalami nasib sama," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram