SELEPAS penyerang Kuala Lumpur City FC, Romel Morales berjaya menjaringkan dua gol semasa menentang Sabah FC pada Sabtu lalu, ia jelas membuktikan bahawa pemain itu layak diberi kepercayaan semula untuk mengetuai jentera serangan pasukan berkenaan.
Penganalisis Liga Malaysia yang juga bekas pemain kebangsaan, Shahrom Kalam menyifatkan sekembalinya Morales sangat memberi impak di bahagian depan Kuala Lumpur.
Sharom berkata, walaupun pemain dari Colombia itu baru sahaja pulih daripada kecederaan, tetapi Romel tidak membuang masa dengan memanfaatkan peluang yang diberikan iaitu membantu kemenangan pasukan menewaskan Sabah FC dengan keputusan 2-0 pada Sabtu lalu.
“Sebelum ini kita tengok dia diketepikan pada awal musim sebab cedera, tetapi sekembalinya dia dalam pasukan, terus berjaya bantu kemenangan.
“Ini yang kita nampak kualiti yang ada pada Romel dan kehadiran dia memang membantu serangan Kuala Lumpur selepas lama direhatkan.
“Saya percaya selepas ini KL City tidak akan berdepan masalah besar di bahagian depan dan seperti mana musim lepas, Romel akan terus memberi impak yang positif kepada pasukan”, jelasnya.
Dalam pada itu, selain pemain skuad The City Boys itu, Shahrom turut meletakkan penyerang import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ronald Ngah dalam barisan kesebelasan terbaik Liga Super untuk minggu keempat.
Dengan tiga jaringan yang berjaya diraihnya setakat ini menyaksikan pemain berasal dari Cameroon itu perlu digeruni terutamanya selepas dia berjaya bantu kemenangan pasukan 2-1 ke atas Penang FC, Ahad lalu.
“Ronald Ngah menjadi watak penting dalam Kedah dan dalam setiap perlawanan berjaya bantu di bahagian depan.
“Terutamanya selepas tewas 1-4 kepada Selangor minggu lalu, kali ini dia berjaya untuk menambah dua jaringan menewaskan Penang FC.
"Selain Syafiq Ahmad, Ronald Ngah akan terus diberi tumpuan menjadi antara nadi utama pasukan di bahagian serangan”, katanya.
Memilih formasi 4-3-3, pemain lain yang turut disenaraikan adalah Herold Goulon (Negeri Sembilan FC), Irfan Zakaria (KL City FC). Arif Fadzilah (Terengganu FC) dan Wan Amirul Afiq (Melaka United FC) di bahagian pertahanan.
Di bahagian tengah, tiga pemain pilihan Shahrom adalah Dechi Marcel N’Guessan (KDA FC), Manuel Ott (Terengganu FC) dan Sony Norde (Melaka United FC) serta penjaga gol, Kevin Ray Mendoza (KL City FC).
Dari kaca mata Sharom, selain Morales dan Ronald Ngah di bahagian depan, Matheus Alves (Negeri Sembilan FC) turut menjadi pilihannya bagi jentera serangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram