Rooney salahkan Ronaldo


  • Podium
  • Selasa, 05 Apr 2022

RONALDO (kanan) menyumbangkan 18 gol dalam 32 perlawanan sejak kembali ke Old Trafford.

WAYNE Rooney percaya kepulangan Cristiano Ronaldo ke Manchester United tidak membuahkan hasil sambil mencadangkan bekas kelabnya itu menumpukan perhatian kepada pemain muda yang lebih dahagakan kejayaan demi perancangan masa depan kelab itu.

Rooney dan Ronaldo pernah bergandingan ketika menjulang The Red Devils dan pemain Portugal itu memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan satu Liga Juara-Juara (UCL).

Walaupun pemain berusia 37 tahun itu menyumbangkan 18 gol dalam 32 perlawanan sejak kembali ke Old Trafford, United sekali lagi mengharungi musim suram.

Kelab itu tersingkir daripada semua perebutan piala dan menduduki tempat ketujuh Liga Perdana Inggeris selepas seri 1-1 menentang Leicester City, pada Ahad.

Bercakap sebagai tetamu di Sky Sports Monday Night Football, Rooney ditanya sama ada dia bersetuju dengan aspek yang ditekankan rakan pemerhati bola sepak, Jamie Carragher, bahawa pembelian Ronaldo merupakan satu kesilapan.

Apabila ditanya, 'Adakah ia berkesan?', Rooney menjawab: "Ketika ini saya perlu katakan tidak.

“Dia menjaringkan gol, gol penting dalam UCL pada awal musim ini.

“Dia melakar hatrik ke atas Tottenham tetapi saya fikir jika anda melihat masa depan kelab, anda perlu menandatangi pemain yang lebih muda yang dahagakan kejayaan serta mampu menggalas tanggungjawab di Manchester United dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Jelas sekali umur Cristiano semakin meningkat, sudah tentu dia bukan pemain seperti ketika berusia 20-an dan itulah yang berlaku, itulah bola sepak.

"Dia adalah ancaman gawang lawan tetapi dalam soal permainannya, saya rasa ia memerlukan lebih banyak usaha lagi. Saya fikir mereka memerlukan pemain muda yang dahagakan kejayaan." katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram