SELEPAS tertangguh tiga perlawanan untuk saingan Piala FA gara-gara Covid-19, pasukan Sri Pahang FC kini sudah bersedia untuk mengharungi aksi pertama mereka menentang Manjung City FC.
Bakal berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Rabu, penjaga gol Sri Pahang, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin, 27, memberitahu dugaan Covid-19 yang menimpa pasukannya merupakan satu kelebihan untuk mereka membuat persiapan musim ini.
"Penangguhan (perlawanan) memberi kami lebih masa untuk lebih bersedia untuk menunjukkan permainan yang terbaik di hadapan peminat.
"Saya juga lihat prestasi pasukan kami semakin baik, lebih mendengar arahan jurulatih dan memahami taktikal yang dirangka buat pasukan," katanya dalam temubual dalam Buletin Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Berkongsi tentang keadaan pemain yang dijangkiti Covid-19 sebelum ini, Zarif Irfan memberitahu terdapat sedikit perbezaan dari segi kecergasan apabila ada di antara mereka yang cepat semput dan penat.
"Mereka kata ada rasa semput, lemah dan cuma ambil masa (untuk pulih). Saya rasa untuk minggu depan punya sempat (sembuh).
"Sebab kita pun baru tahu yang perlawanan Piala FA diawalkan, bagus untuk kami, sebab pasukan dah tak sabar-sabar nak main, nak tunjuk kat penyokong," katanya.
Mengulas tentang adakah dia akan diturunkan untuk perlawanan pada Rabu, katanya dia belum pasti dan masih menunggu perancangan jurulatih.
Jelasnya, dia tidak boleh menafikan bahawa kemungkinan penjaga gol import, Mamadou Samassa akan menjadi pilihan pertama, namun dia tetap akan bersedia jika namanya disenaraikan untuk bermain pada Rabu.
"Bila ada import sudah pasti dia akan diutamakan, kita ada empat pejaga gol, semua ada kelebihan masing-masing dan sudah pasti semua membuat persediaan yang terbaik untuk bersaing sebagai pilihan utama.
"Bergantung kepada percaturan jurulatih, kami tidak ambil mudah dan tidak hanya berharap kepada Samassa," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram