Hanya 16 pemain dapat turun lawan Laos


  • Podium
  • Isnin, 21 Feb 2022

SKUAD muda kebangsaan dihimpit masalah kekurangan pemain akibat jangkitan Covid-19.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan hanya 16 pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang dapat diturunkan menentang Laos pada aksi Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF di Stadium Morodok Techo, Phnom Penh, pada malam Isnin.

FAM dalam satu kenyataan yang disiarkan pada akaun Facebook miliknya berkata beberapa pemain lagi masih menunggu keputusan ujian pantas antigen (ART) daripada Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

"Menerusi keputusan ART itu pagi tadi, skuad B-23 kebangsaan akan kehilangan khidmat beberapa pemain utama untuk perlawanan kedua menentang Laos, malam ini.

"Dengan peningkatan jumlah kes positif yang membimbangkan di dalam pasukan di Phnom Penh, Kemboja, kesihatan serta keselamatan pegawai dan pemain terus menjadi keutamaan FAM.

"Namun begitu, demi semangat kesukanan, Harimau Malaya B-23 tetap akan turun mengharungi perlawanan kedua menentang Laos, malam ini dan akan berjuang sehabis baik demi negara meskipun berdepan rintangan Covid-19," kata FAM dalam kenyataan berkenaan.

Skuad negara sebelum ini tewas 1-2 di tangan Laos pada aksi pertama, Jumaat lalu.

Sabtu lalu, FAM sudah mengesahkan tiga pemain termasuk Abdul Hanafie Tokyo, Zainal Abidin Jamil dan T Saravanan serta penolong jurulatih, Khan Hung Meng disahkan positif Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram