PEMAIN perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia memilih Indra Wijaya selaku jurulatihnya kerana beliau merupakan seorang penyayang yang menjaga pemainnya seperti anak sendiri.
Pemain berusia 23 tahun yang mengesahkan pelantikan jurulatih Indonesia dan penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia berkata, Indra juga menjadi individu yang bertanggungjawab sejak zaman remajanya.
Malah pemain ranking ketujuh dunia itu berkata, Indra menjadi pilihan tunggalnya apabila terus menghubungi bekas pemenang pingat gangsa Piala Dunia 1997 itu, selepas keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
"Secara peribadi saya sangat gembira dapat peluang bekerja dengan Indra lagi dan sejak dari remaja hingga ke pelapis, beliau yang bimbing saya di bawah (bekas Pengarah Teknikal BAM) Morten Frost, beliau seorang daripada jurulatih yang melahirkan saya untuk apa yang saya jadi hari ini.
"Beliau seorang jurulatih yang sangat fokus kepada pemainnya dan memberi banyak nasihat. Sasaran utama saya selepas ini adalah untuk ke Olimpik Paris 2024,” katanya kepada pemberita selepas beraksi di Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam, Selangor pada Rabu.
Beliau terdahulu menewaskan juara dunia Loh Kean Yew dari Singapura 21-6, 21-14 untuk memberikan mata pertama buat Malaysia.
Mengulas lanjut, Zii Jia berkata, beliau seterusnya akan melantik seorang ahli fisioterapi dan jurulatih kecergasan dan berharap untuk membawa pasukannya ke saingan Terbuka Jerman yang dijadualkan bermula 8 hingga13 Mac.
Menurut Zii Jia, sebab utama untuk menubuhkan kelabnya sendiri adalah bagi memudahkan urusan melantik jurulatih dan ahli pasukannya, selain berkata tiada perancangan untuk melatih atlet muda di kelab buat masa ini.
"Kalau tak ada kelab ini, mungkin saya kena pinjam kelab lain, jadi sebab itu saya tubuhkan kelab ini untuk lantik Indra. Buat masa ini, di mana kelab ini akan berpangkalan tidak tahu lagi.
"Saya juga mahu mengambil kesempatan ini untuk merakam terima kasih kepada (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) Datuk Seri Ti Lian Ker dan pasukannya yang membantu mendapat kelulusan dengan begitu cepat. Saya boleh tumpukan perhatian dalam aksi di atas gelanggang sepenuhnya sekarang,” katanya.
Semalam, Lian Ker menerusi Facebooknya merakam terima kasih kepada Pesuruhjaya Sukan Ibrahim Mohd Yusof untuk meluluskan Kelab Badminton Lee Zii Jia, selain mengumumkan pelantikan Indra.
Kontrak Indra dengan BAM selaku ketua jurulatih perseorangan wanita sepatutnya tamat pada 31 Mac 2022. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram