Thailand pasukan pertama ke separuh akhir Piala AFF


  • Podium
  • Selasa, 14 Dis 2021

THAILAND mengumpul sembilan mata di kedudukan teratas selepas menewaskan Filipina 2-1. — Agensi

JUARA lima kali, Thailand muncul pasukan pertama melangkah ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 selepas menewaskan Filipina 2-1 pada aksi Kumpulan A di Stadium Nasional Singapura, pada Selasa.

Ia kemenangan ketiga skuad bimbingan Alexandre Polking selepas menumpaskan Timor Leste 2-0 dan Myanmar 4-0 sekali gus mengumpul sembilan mata di kedudukan teratas menjelang pertembungan aksi terakhir bagi menentukan juara kumpulan menentang Singapura, pada Sabtu.

Pada aksi hari ini, penyerang prolifik Teerasil Dangda menjadi wira kejayaan skuad Gajah Perang mara ke peringkat separuh akhir buat kali kelima berturut-turut sejak edisi 2012 selepas meledak dua gol masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua

Jaringan pertama penyerang BG Pathum United berusia 33 tahun itu menerusi rembatan voli kaki kiri pada minit ke-26 meletakkan Thailand di hadapan dan mendahului hingga separuh masa sebelum Filipina bangkit menyamakan kedudukan menerusi Patrick Reichelt pada minit ke-57.

Dangda yang merupakan penjaring terbanyak Piala AFF edisi 2012 dan 2016 kemudian tenang menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Filipina yang beraksi untuk Kuala Lumpur City FC, Kevin Ray Mendoza pada minit ke-78 untuk mengesahkan kemenangan Thailand.

Thailand muncul juara sulung Piala AFF pada 1996 sebelum meraih empat lagi gelaran pada edisi 2000, 2002, 2014 dan 2016. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

aff, suzuki cup, separuh akhir, thailand