KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) bakal melakukan rombakan besar-besaran pada musim hadapan bagi mengukuhkan kedudukan mereka dalam saingan bola sepak tempatan.
Selepas menamatkan saingan Liga Super musim ini di tempat kedua, KDA FC tentunya mahu menamatkan dominasi Johor Darul Ta'zim pada musim hadapan.
Selepas legenda kelab berkenaan, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali bakal meninggalkan KDA FC, beberapa pemain turut dikatakan akan berhijrah mencari angin baharu musim depan.
Salah seorang pemain itu adalah Tchetche Kipre yang berkemungkinan bakal berhijrah ke salah satu kelab di Lembah Klang musim depan.
Majoriti difahamkan antara kelab yang berminat untuk mendapatkannya adalah Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Petaling Jaya City FC (PJ City).
Pemain dari Ivory Coast itu menjadi buruan selepas mempamerkan aksi bertenaga pada musim ini selepas meledak 10 gol dan merekod 18 umpanan dalam 21 penampilan.
Terdahulu, rundingan antara Kipre dan Selangor FC dikhabarkan gagal.
Sekiranya PJ City dan KL City gagal memeterai rundingan bersama Kipre, pemain itu dijangka kekal bersama KDA FC musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram