KEMATIAN atlet pecut Ecuador yang juga pemenang pingat gangsa Kejuaraan Dunia, Alex Quinonez dalam satu kejadian tembakan di rumahnya pada Jumaat, dianggap satu kehilangan besar buat negara itu.
Quinonez, 32, disahkan meninggal dunia akibat ditembak individu tidak dikenali di kediamannya di Guayanquil, kira-kira pukul 9.20 malam pada Jumaat.
Menurut satu kenyataan media daripada pihak kementerian sukan Ecuador, kematian Quinonez merupakan satu kehilangan besar buat Ecuador, khususnya dalam sukan olahraga.
“Kami dengan sedihnya mengesahkan bahawa atlet olahraga kita, Alex Quinonez telah terbunuh dalam insiden tembakan di kediamannya.
“Kita kehilangan seorang ahli sukan yang hebat. Seseorang yang telah memberikan kita harapan, menggerakkan kita dan secara keseluruhannya dia adalah atlet pecut terbaik yang pernah dilahirkan di negara ini,” kata kenyataan berkenaan.
Insiden berkenaan sekali gus menjadi insiden kedua melibatkan atlet olahraga dalam tempoh dua minggu apabila atlet larian jarak jauh Kenya, Agnes Tirop, dibunuh di kediamannya, 14 Oktober lalu.
Untuk rekod, Quinonez memenangi pingat gangsa dalam acara 200 meter pada Kejohanan Dunia 2019 di Doha selain beraksi di final acara sama pada Olimpik London 2012 lalu.
Bagaimanapun, kegagalannya pada ujian anti doping menyebabkan Quinonez digantung dan tidak dapat beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 lalu.
Sementara itu Presiden Ecuador, Guillermo Lasso menyatakan rasa sedih atas kematian Quinonez yang disifatkannya sebagai atlet olahraga terbaik di negara berkenaan.
“Kita sangat sedih atas insiden (kematian) ini. Ia satu kehilangan besar buat kita.Mereka yang terlibat perlu dihukum.
“Oleh itu saya akan pastikan agar pihak yang terlibat tidak akan terlepas daripada hukuman,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram