Indonesia julang Piala Thomas


  • Podium
  • Ahad, 17 Okt 2021

JONATAN Christie muncul wira Indonesia apabila menyumbang mata kemenangan pada final Piala Thomas di Aarhus, Denmark malam tadi. — The Star

INDONESIA berjaya mengejutkan juara bertahan, China sekali gus menamatkan kemarau Piala Thomas selama hampir dua dekad selepas kali terakhir muncul juara pada 2002.

Dalam aksi final di Arena Ceres, Aarhus, Denmark malam Ahad itu, Indonesia menang bergaya 3-0, sekali gus melengkapkan koleksi trofi Piala Thomas yang ke-14 sejak ia diperkenalkan buat julung kalinya pada 1949.

Mata pertama Indonesia disumbangkan oleh beregu utama, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menewaskan He Ji Ting-Zhou Hao Dong dengan kemenangan straight set 21-12 dan 21-19.

Anthony Sinisuka Ginting kemudiannya meletakkan Indonesia selesa mendahului 2-0 apabila menewaskan Lu Guang Zu meskipun perlawanan diheret ke rubber set sebelum menang 18-21, 21-14 dan 21-16.

Jonatan Christie muncul wira Indonesia apabila menyumbang mata kemenangan sebaik menewaskan Li Shi Feng dengan keputusan rubber set 21-14, 18-21 dan 21-14.

Pada edisi 2018 Piala Thomas di Bangkok, Thailand, Indonesia sekadar berpuas hati di tempat ketiga.

Kekalahan skuad Piala Thomas China pada edisi kali ini begitupun sedikit terubat apabila muncul juara Piala Uber sebaik menewaskan juara bertahan, Jepun 3-1 pada awal pagi Ahad. — Majoriti