Tze Yong fokus ranking dunia


  • Podium
  • Sabtu, 16 Okt 2021

TZE Yong akan beraksi dalam Siri Antarabangsa Terbuka Czech bermula 21 hingga 24 Oktober. — Agensi
PEMAIN muda badminton negara, Ng Tze Yong mahu mengalihkan tumpuannya untuk berada dalam kelompok kedudukan 20 pemain terbaik dunia.

Kenyataan itu dilontarkan selepas Malaysia terpaksa akur mengakhiri saingan Piala Thomas apabila terkandas di peringkat suku akhir kepada Indonesia pada Jumaat.

Tze Yong yang menghuni ranking ke-82 dunia itu mencuri tumpuan para peminat badminton dalam saingan berkenaan sewaktu berdepan pemain ranking ketujuh dunia, Jonatan Christie.

Rentak permainan tenang yang dipamerkan oleh Tze Yong nyata memberi kesukaran kepada Christie sebelum tewas 21-14, 19-21, 16-21.

Ujar Tze Yong, pengalaman bertanding buat kali pertama dalam dua kejohanan antarabangsa iaitu Piala Sudirman di Finland dan Piala Thomas di Denmark merupakan momen berharga bagi dirinya.

"Ketika saingan Piala Sudirman, saya berasa gementar kerana itu adalah kejohanan berpasukan besar pertama saya tetapi saya lebih tenang sewaktu beraksi di Piala Thomas.

"Saya hanya mahu memberikan persembahan yang terbaik apabila turun beraksi.

"Saya percaya pengalaman yang diraih dalam dua kejohanan ini akan terus membantu meningkatkan prestasi saya," ujarnya.

Tze Yong tidak akan berehat lama selepas saingan Piala Thomas apabila bakal ke Republik Czech bagi menghadapi saingan Siri Antarabangsa Terbuka Czech bermula 21 hingga 24 Oktober. — Majoriti

Ng Tze Yong, badminton, Piala Thomas, BAM