Pochettino kecewa PSG gagal catat percubaan tepat


  • Podium
  • Isnin, 04 Okt 2021

MAURICIO Pochettino tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa terhadap PSG. — Reuters

REKOD kemenangan lapan perlawanan Paris Saint-Germain (PSG) tercalar apabila tewas kepada Rennes di Roazhon Park malam Isnin.

Lebih mengecewakan, kelab yang dibarisi pemain elit dunia itu gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat ke gawang gol lawan.

Pengurusnya Mauricio Pochettino tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa terhadap pasukannya yang melakar 13 percubaan tetapi kesemuanya gagal menguji penjaga gol lawan, Alfred Gomis.

Pochettino menurunkan Lionel Messi, dalam barisan permulaan perlawanan itu, di mana dia melakukan lima percubaan dan salah satunya menerusi sepakan percuma yang menggegarkan palang gol lawan.

Angel Di Maria menggantikan Ander Herrera dalam kesebelasan utama berbanding ketika menewaskan Manchester City 2-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi Rabu lalu tetapi Pochettino tidak menyesal dengan pemilihan pemainnya.

"Saya tidak fikir kami perlu mengubah sistem kami. Kami memiliki tempoh 25 minit paling baik (dalam babak pertama) musim ini," kata Pochettino dalam sidang media selepas perlawanan itu.

"Kami tidak memulakan perlawanan dengan baik tetapi kami kemudian melalui tempoh 25-30 minit dengan kualiti bola sepak yang baik. Amat merugikan apabila kami tidak dapat memanfaatkannya.

"Kami kemudian terkesan hebat secara psikologi, dibolosi sebelum dan selepas waktu rehat. Perlawanan menjadi terbuka selepas itu. Kami mencipta peluang tetapi berdepan waktu sukar.

"Rennes meningkatkan keyakinan mereka dan kami mula berasa kecewa," katanya.

Ia merupakan kekalahan pertama Messi sejak menyertai PSG daripada Barcelona pada Ogos lalu dan pemain kebangsaan Argentina berkenaan masih belum menghasilkan sebarang gol daripada tiga penampilan dalam Ligue 1.

Pochettino, bagaimanapun, enggan menyalahkan mana-mana pemain dan sebaliknya memikul tanggungjawab itu, di mana PSG tewas buat kali pertama sejak awal April lalu -- selepas 15 perlawanan liga.

"Ketika kami menewaskan Man City, ia adalah satu usaha kolektif. Orang pertama yang bertanggungjawab adalah saya. Apa yang kami lakukan selama 25 minit merupakan sesuatu yang amat berkualiti tinggi.

"Kami perlu memanjangkannya selama 90 minit. Saya berpuas hati dengan satu perkara -- kami mencipta banyak situasi dan peluang," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PSG, Rennes, Mauricio Pochettino