PEMAIN wanita nombor dua dunia, Aryna Sabalenka dilaporkan positif Covid-19 dan tidak akan beraksi pada kejohanan tenis Terbuka Indian Wells di California, Amerika Syarikat yang membuka tirainya pada Isnin.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pemain berusia 23 tahun itu menerusi satu hantaran di akaun laman sosial Instagram miliknya pada Sabtu.
Katanya, dia terkilan kerana tidak dapat beraksi dalam kejohanan yang akan berlangsung pada 4 hingga 17 Oktober itu.
"Sayangnya saya positif Covid-19 dan tidak akan dapat bersaing di Indian Wells.
"Saya telah memulakan kuarantin dan tinggal California sehingga saya disahkan pulih oleh doktor dan pegawai kesihatan," tulisnya.
Tambahnya lagi, setakat ini keadaan kesihatannya masih baik bagaimanapun dia berasa sedih kerana tidak dapat beraksi pada tahun ini.
Sabalenka merupakan pilihan utama untuk memegang takhta juara perseorangan wanita selepas pemain nombor satu dunia, Ash Barty menarik diri dari kejohanan itu.
Selain Barty, pemain lelaki nombor satu dunia Novak Djokovic, juara 2018, Naomi Osaka dan juara Grand Slam 23 kali, Serena Williams juga tidak bertanding.
Terdahulu, Sabalenka tewas kepada pemain remaja Kanada, Leylah Fernandez pada separuh akhir Terbuka AS bulan lalu.
Dia telah melayakkan diri ke peringkat akhir Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA) musim ini yang turut disertai oleh lapan pemain perseorangan terbaik dunia dan lapan pasukan beregu.
Kejohanan dunia Jelajah WTA akan diadakan pada November di Guadalajara, Mexico. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram