Piala AFF 2020: FAM enggan ambil risiko jadi tuan rumah


  • Podium
  • Khamis, 23 Sep 2021

SKUAD Harimau Malaya tentunya mahu menebus kekecewaan gagal memenangi edisi Piala Suzuki AFF pada 2018. — AFIQUE YUSOFF/The Star

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) enggan mengambil risiko mencetuskan kluster bola sepak apabila tidak menghantar permohonan menjadi tuan rumah Piala Suzuki AFF 2020 pada akhir 2021.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar, langkah tersebut diambil memandangkan kes Covid-19 di negara ini yang masih tinggi.

"Pihak kerajaan pun perlu berjaga-jaga dengan pandemik ini. Kita juga tidak mahu timbul pula apa-apa kluster apabila penganjuran dilakukan di negara ini.

“Sudah tentu kalau boleh memang pasukan negara nak bermain di tempat sendiri. Tetapi kerana keadaan semasa, jadi kita kena peka dengan situasi sebegini.

“Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) juga mencari venue yang tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Kalau kita mohon, takut timbul masalah pada masa akan datang berkaitan SOP dan sebagainya," katanya pada Rabu.

AFF setakat ini masih belum mengumumkan venue rasmi kejohanan yang berlangsung dwitahunan itu dan keputusannya hanya diketahui pada penghujung September.

Tambah Saifuddin, beberapa negara berpotensi untuk menjadi tuan rumah seperti Kemboja, Singapura dan Thailand.

“Negara-negara ini yang saya rasa kesnya tidak tinggi. Selain itu, mungkin SOP tidak ketat dan boleh memenuhi kriteria yang dimahukan AFF untuk penganjuran tahun ini.

“Pasukan negara juga tidak ada masalah sekiranya perlu bermain di venue lain dan diadakan secara setempat ini,” ujarnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Kemboja dan Laos pada kejohanan terbabit yang akan diadakan di venue berpusat, berbeza dengan format pertandingan sebelum ini. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram