[VIDEO] Bukan rakyat sahaja bela haiwan, 5 pemerintah berkuasa dunia 'cair' dengan haiwan ini


  • Hobi
  • Ahad, 24 Dis 2023

Terdapat banyak pemimpin berkuasa di dunia yang memiliki haiwan peliharaan kesayangan tersendiri.

TIDAK dinafikan ramai dalam kalangan kita minat memelihara haiwan untuk dijadikan peneman hidup selain menghilangkan rasa bosan.

Lebih menyeronokkan jika haiwan peliharaan itu comel dan lincah, sudah pasti segala tekanan kerja atau masalah dapat diredakan.

Namun, ada sesetengah orang berasa remeh untuk memelihara haiwan kerana ia memerlukan penjagaan yang rapi seperti perlu dimandikan, dibersihkan najisnya atau ada juga yang lasak dan nakal.

Percaya atau tidak, pemimpin dunia menjadikan haiwan sebagai terapi kepada mereka.

Berikut adalah senarai haiwan kesayangan pemimpin paling berkuasa di dunia.

1. Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam bersama 'anak bulus' Socks, Judy dan Awan.

Pada 30 Ogos lalu, Presiden Tharman memuat naik rakaman mengenai tiga kucingnya, Socks, Judy dan Awan di laman Instagramnya.

Menurutnya, kucing-kucing itu diambil dari Persatuan Kebajikan Kucing dan dipantau oleh seorang doktor haiwan di Jurong.

Tiga 'si bulus' itu berjaya memikat hati netizen dengan kenakalan dan kecomelan yang mana si Awan berbulu hitam kecoklatan gemar menggigit buku lali Presiden Tharman.

Rata-rata pencinta haiwan memuji keputusan Presiden Tharman untuk membela kucing yang diambil dari persatuan kebajikan kucing berbanding membelinya dari kedai haiwan.

2. Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah memelihara harimau bengal, burung helang, flamingo dan kakak tua.

photo_2023-12-22_21-24-26

Anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah pernah memuat naik posting di Instagram bersama haiwan peliharaan bapanya.

Sultan Brunei Hassanal Bolkiah mempunyai taman haiwan peribadi yang digunakan untuk menempatkan harimau jenis bengal, burung helang, flamingo dan burung kakak tua yang boleh bermain dan bernyanyi.

Baginda juga pernah membuat pertunjukan haiwan di zoo untuk tetamu kenamaan ke negara itu.

3. Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden bersama Komander dan Willow.

Presiden AS Joe Biden mempunyai dua haiwan peliharaan iaitu seekor anjing baka German Shepherd digelar Komander dan kucing baka domestik bernama Willow.

Satu e-mel Perkhidmatan Perisikan AS mendedahkan, Komander pernah menggigit lengan dan paha seorang pegawai di Rumah Putih. Manakala, Willow pula pernah mendapat penghormatan menjadi kucing kedua pernah tinggal di pejabat presiden selepas kucing hitam milik Presiden George W Bush.

Berbeza dengan Komander yang agak agresif, Willow pernah menjadi bualan media AS apabila dikatakan kucing itu kerap lena di kepala Presiden Biden pada waktu malam.

4. Presiden Indonesia, Joko Widodo bela kambing dan katak.

Pilihan haiwan peliharaan Presiden Indonesia Joko Widodo ini agak menarik.

Sejak sebelum bergelar Presiden Indonesia, media melaporkan beliau gemar memelihara pelbagai jenis haiwan termasuk katak, burung merpati dan burung nuri.

Pada 2017, Presiden Joko Widodo memuat naik video di laman YouTube peribadinya dengan paparan aksi beliau bersama beberapa ekor kambing biri-biri di Istana Bogor.

Beliau turut berkongsi kelahiran dua anak kambing dengan kenyataan berbunyi: Rahmat daripada Tuhan dan menandakan perubahan baharu.

5. Presiden Perancis, Emmanuel Macron memelihara anjing bernama Nemo.

WhatsApp Image 2023-12-22 at 8.38.37 PM

Anjing pertama Presiden Perancis, Nemo.

Haiwan peliharaan Presiden Perancis Emmanuel Macron bukanlah ikan bernama Nemo yang popular tetapi anjing hitam digelar Macron iaitu baka campuran Labrador-Griffon yang mempunyai badan tegap dan langsing.

Nemo yang dibela sejak 2017 itu mempunyai beberapa kisah lucu termasuk insiden di mana ia didapati kencing di pendang api atau 'fireplace' di Istana Elysee yang merupakan kediaman rasmi beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram