Taman Wetland Iringan Bayu tarikan baharu di Seremban


  • Bizz
  • Ahad, 16 Jan 2022

TAMAN Wetland Iringan Bayu telah siap dan mula dibuka kepada orang ramai sebelum pandemik. — Agensi

OSK Property memperkenalkan Taman Wetland Iringan Bayu, Seremban, Negeri Sembilan untuk menggalakkan ekosistem sihat yang menyokong pemuliharaan dan sikap menghargai tanah lembap berpaya dalam kawasan kejiranannya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ong Ghee Bin berkata, taman rekreasi berpaya seluas 22 ekar itu dijangka menarik 35,000 pengunjung tahun ini dan merangkumi tiga elemen penting yang menjadikannya unik — tanah berpaya, taman dan seni.

"Bahagian kawasan berpaya itu, yang pada asalnya dicipta sebagai kolam tadahan air, kini menjadi habitat kira-kira 200,000 tumbuhan paya dan 972 pokok daripada 60 spesies berbeza dan sehingga kini telah menarik lebih lapan spesies burung dan 11 ikan tempatan.

"Taman ini merupakan nadi Iringan Bayu di Seremban yang menyepadukan kepelbagaian biologi dan pemuliharaan alam sekitar dengan seni dan kawasan terbuka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Wetland Iringan Bayu di Seremban, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Beliau berkata, bahagian taman itu menawarkan trek joging dan lorong basikal khusus yang disambungkan ke setiap fasa kediaman dalam perbandaran itu, 18 denai kecergasan, gelanggang bola keranjang dan futsal, jambatan sepanjang 190 meter dengan pavilion tasik dan taman permainan kanak-kanak bersepadu.

Ong berkata, taman bernilai RM9 juta itu telah siap dan mula dibuka kepada orang ramai sebelum pandemik melanda negara dan telah menarik pengunjung dari sekitarnya dan Lembah Klang.

Taman Wetland Iringan Bayu, terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Seremban, dibuka percuma kepada orang ramai dari 7 pagi hingga 7 malam dan mereka juga boleh berkunjung ke bahagian seni yang melengkapkan elemen alam semula jadi taman itu dengan 24 arca seni.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram