RATA-RATA peminat bimbang apabila penyanyi Ariana Grande secara tiba-tiba memadamkan akaun laman sosial Twitternya pada malam Krismas.
Hal itu menyebabkan semua pengikutnya tidak dapat menghantar ucapan perayaan itu kepada penyanyi kesayangan mereka itu.
Pelantun lagu, No Tears Left To Cry itu menjadi pengguna setia Twitter sejak 2009 dan aktif memuat naik perkembangannya di platform itu.
Namun, semasa malam Krismas peminat wanita berusia 28 tahun itu terkejut apabila melihat halaman akaun Twitternya, @arianagrande kosong dan hanya tertera mesej, "Ada masalah. Cuba lagi.”
Tindakan Ariana dipercayai memadam akaun Twitternya bermakna dia memutuskan hubungan dengan 85.1 juta pengikut di laman sosial itu.
Bagaimanapun, akaun Instagram Ariana yang mempunyai lebih 284 juta pengikut dilihat masih aktif.
Walaupun tidak jelas mengapa bintang itu memutuskan untuk memadam akaun Twitternya, segelinitr peminat membuat spekulasi penyanyi itu berbuat demikian untuk mengelakkan penyalahgunaan dalam talian.
Ariana dilihat masih mengemas kini akaun Instagramnya. Dia baru-baru ini berkongsi tentang kerjayanya di The Voice, filem Netflix baharunya Don't Look Up, dan menonjolkan koleksi produk kecantikannya, REM.
Selama bertahun-tahun, Ariana mengelak kontroversi di Twitter terutama selepas perbalahan penyanyi itu dengan Kanye West dalam platform berkenaan pada 2018. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram