‘Via Feratta’ khas buat peminat sukan ekstrem


  • Hobi
  • Rabu, 27 Okt 2021

TREK mendaki ‘Via Ferrata’ di Pulau Lang Tengah, Terengganu, telah menjadi daya tarikan baharu untuk penggemar sukan ekstrem.

'Via Feratta’ membawa maksud ‘laluan besi’ dalam bahasa Itali ialah trek khas pendakian yang selamat dilengkapi tali, kabel, dan tangga telah dipasangkan di kawasan pergunungan dan bukit di Pulau Lang Tengah.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin berkata, Via Ferrata bakal menjadi perangsang kepada industri pelancongan pulau-pulau di Terengganu.

“Pelancong biasanya berkunjung ke Terengganu untuk menikmati keindahan hidupan laut di pulau-pulau yang terdapat di sini.

“Pulau Lang Tengah kini mempunyai Via Feratta yang diperkenalkan oleh Summer Bay Resort.

“Tourism Malaysia wilayah timur sentiasa bersedia untuk membantu segala initiatif dan kreativiti dalam industri supaya sektor pelancongan dapat pulih sepenuhnya setelah terkesan daripada pendemik Covid-19,” kata Hafiz kepada agensi pelancongan dan 16 petugas media Terengganu yang dijemput untuk mencuba via feratta baru-baru ini.

Pulau Lang Tengah terletak di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian mengambil masa 45 minit perjalanan dari jeti Marang.

Munurut Pengerusi Eksekutif Summer Bay Resort, Chong Fah Ming, Via Feratta ialah satu sukan ekstrem yang selamat dan telah mendapat pengesahan dari Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan juga Majlis Perbandaran Kuala Terengganu.

“Empat penyelam berlesen akan bertugas menjaga keselamatan dan membimbing para pelancong dan kajian menyeluruh berkenaan pembinaan trek besi ini telah dilakukan oleh kontraktor dan perunding berpengalaman.

“Lebih RM200,000 telah disuntik bagi merealisasikan trek sepanjang 200m dan 80m di atas paras laut ini.

“Via Feratta menjanjikan pengalaman baharu untuk anda yang berkunjung ke Kuala Terengganu dan kami juga merancang untuk memperkenalkan lagi lebih banyak aktiviti sukan ekstrem untuk menarik pelancong,” kata Fah Ming.

Para petugas media yang dijemput ke Via Ferrata rata-rata menyatakan pengalaman mereka mencuba sendiri via ferrata sangat unik, mencabar dan berbaloi.

Mereka sangat teruja apabila sampai ke puncak dan dapat melihat permandangan indah di puncak Pulau Lang Tengah. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Terengganu, pelancong, mendaki, ekstrem, percutian