JENAZAH pengarah filem terkenal Allahyarham Mamat Khalid yang meninggal dunia kira-kira 12.30 tengah malam Sabtu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh, Ipoh, Perak pada Ahad.
Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selamat dikebumikan pada 2.25 petang.
Jenazah Allahyarham sebelum itu dibawa ke kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 pada 6 pagi tadi dan kemudiannya disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam sebelum dikebumikan.
Kira-kira 300 orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di tanah perkuburan berkenaan.
Antara yang hadir menziarahi Allahyarham di kediamannya ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta beberapa rakan artis antaranya Datuk Awie, Zul Ariffin, Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Nasrizal Ngasri dan Zahiril Adzim.
Sementara itu, anak ketiga Allahyarham, Mohd Khalid Amen, 25, berkata, bapanya bermain keyboard semasa membuat persembahan lagu Apokalips di kafenya, di Sarang Art Hub di Tanjung Malim, sebelum tiba-tiba tidak sedarkan diri kira-kira jam 10.30 malam Sabtu.
"Saya dan beberapa ahli keluarga terus menerpa ke arahnya, sebelum itu dia tidak mengadu sakit.
"Kami menghubungi ambulans dan akhirnya papa menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital. Papa memang ada sakit jantung," katanya.
Menurut Mohd Khalid Amen, Allahyarham sepatutnya akan memulakan penggambaran telefilem bertajuk 'Kampung Pisang Berbuah Dua Kali' minggu depan.
"Papa bercadang untuk memulakan penggambaran hujung bulan ini tetapi tidak sempat," katanya.
Gambar pada hari pengebumian Mamat Khalid pada Ahad. —Facebook
Dalam pada itu, pelakon Nasrizal Ngasri atau lebih dikenali sebagai Bell Ngasri ketika ditemui pemberita berkata, sepatutnya beliau bersama Allahyarham akan memulakan penggambaran telefilem sekuel komedi seram, Kampung Pisang pada penghujung bulan ini.
"Saya betul-betul tidak sangka Allahyarham pergi meninggalkan kami tapi Allah lebih sayangkan beliau," katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Khir Rahman pula berkata, Allahyarham Mamat merupakan individu yang melonjakkan nama beliau di persada seni tanah air menerusi beberapa filem yang dilakonkannya sebelum ini.
"Arwah Abang Mamat memang dikenali sebagai suka menolong rakan-rakan atau saudara-mara, selagi dia boleh tunaikan hajat, dia akan tunaikan," katanya.
Pekin Ibrahim yang ditemui pemberita dalam nada sebak berkata, beliau menganggap Allahyarham Mamat sebagai ayah kandungnya sendiri.
"Saya biasa berkomunikasi dengan arwah melalui aplikasi WhatsApp berbual mengenai projek filem dan kali terakhir berhubung dengannya minggu lepas," katanya.
Allahyarham Mamat dilahirkan pada 6 April 1963 dan dibesarkan di Sungai Rokam di sini. Beliau meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak.
Beliau memulakan kerjaya awal di pejabat kerajaan, sebelum menceburi bidang perfileman dengan mengarahkan filem komedi pertama berjudul Lang Buana.
Antara filem sentuhannya termasuklah Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Man Laksa, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X dan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang turut meraih kutipan pecah panggung.
Selain aktif dalam bidang perfileman, arwah juga pengasas dan pemilik kafe, Sarang Art Hub yang beroperasi di Tanjung Malim. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram