MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melahirkan rasa sedih atas pemergian pengarah filem terkenal, Mamat Khalid yang dianggap seperti abang kandungnya.
Ahmad Faizal turut menyifatkan pemergian Allahyarham itu satu kehilangan yang amat besar khususnya terhadap industri perfileman tanah air.
"Saya membesar di Kampung Sungai Rokam, Ipoh bersama dengan Allahyarham dan amat rapat (hubungan) dengan keluarga termasuk isterinya. Secara peribadi ia satu kehilangan yang amat besar kepada saya.
"Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allahyarham diampunkan dosanya dan dihimpunkan bersama-sama orang yang beriman,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Senamrobik Perdana Peja Trophy 2021 yang berlangsung di Padang Bola Sepak Lintau di Ipoh pada Ahad.
Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 58, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Slim River pada 12.30 malam Ahad.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1 di Sungai Rokam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kampung Paloh, Ipoh selepas solat Zuhur pada Ahad.
Antara filem popular hasil garapan Allahyarham ialah Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock Oo, Rock Bro, 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa Di Kampung Pisang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram