Masih berpegang janji, Ahmad Dhani kekal tanggung enam janda sejak lapan tahun lalu


  • Hiburan
  • Selasa, 28 Sep 2021

AHMAD Dhani (kiri) dan anaknya, Dul Jaelani akui masih berpegang pada janji untuk menyara keluarga mangsa. — Agensi
BIARPUN lapan tahun berlalu, komposer Ahmad Dhani dan anak lelakinya, Dul Jaelani kekal bertanggung jawab terhadap mangsa kejadian kemalangan yang meragut enam nyawa.

Memetik laporan portal Liputan 6, Ahmad Dhani mendedahkan bahawa dirinya masih berpegang pada janji untuk menyara enam wanita yang kehilangan suami akibat kemalangan berpunca daripada Dul yang berlaku pada tahun 2013.

Vokalis kumpulan Dewa 19 itu berkata, sepanjang lapan tahun dia berusaha sebaiknya untuk menanggung kehidupan enam wanita tersebut.

"Kalau masih ingat, saya dulu menanggung wanita-wanita yang kehilangan suami yang meninggal dunia kerana dilanggar anak saya.

"Sehingga sekarang saya masih tunaikan janji sehingga ke hari ini," katanya.

Menurutnya, tanggungan itu adalah atas inisiatifnya sendiri dan bukannya tertakluk dalam undang-undang mahupun hukuman daripada kemalangan yang berlaku.

"Saya buat sebagai usaha saya untuk bantu mereka, lagi pun saya pernah berjanji sejak 2013 lagi.

"Mungkin saya akan menanggung mereka sehingga anak-anak mereka selesai pengajian masing-masing.

"Dul juga ada menyara salah seorang wanita, jadi saya menaggung lagi lima. Ketika kemalangan berlaku, ada di antara mereka memiliki anak yang masih kecil, ada yang dua tahun," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram