Wolverine pernah bantu James Bond


  • Hiburan
  • Ahad, 12 Sep 2021

CRAIG terpaksa berdepan kritikan daripada media saat kemunculan pertamanya sebagai James Bond pada 2006. — AP

AKTOR Britain, Daniel Craig yang popular memainkan watak perisik terkemuka, James Bond sejak 15 tahun lalu, mengakui dia pernah berdepan tekanan ketika berlakon dalam filem tersebut.

Pendedahan itu dibuat oleh Craig dalam dokumentari Being James Bond baru-baru ini.

Craig berkata semenjak melakukan penampilan pertama sebagai Bond dalam filem Casino Royale, media mula mengkritiknya daripada segi ketinggian hingga kebolehan lakonannya.

Dia yang sebelum itu jarang mendapat tumpuan media dalam kariernya, berasa sukar ketika berdepan situasi sedemikian.

Malahan, Craig sebelum ini pernah menyatakan dia sanggup memotong nadinya sendiri daripada kembali menjadi James Bond.

Bagaimanapun, Craig mendedahkan rakannya yang juga pelakon terkenal, Hugh Jackman banyak membantu dia keluar daripada masalah tersebut.

"Kehidupan peribadi saya banyak terkesan akibat populariti mendadak yang saya alami. Saya bahkan mengunci diri dalam bilik dan menutup jendela.

"Mental dan fizikal saya benar-benar dalam tekanan, Jackman membantu saya menghadapinya dan menerima populariti itu," ujar Craig.

Jackman juga sebelum ini berdepan situasi sama seperti Craig ketika dia melakonkan watak Wolverine dalam filem X-Men pada 2000.

Sejak itu, Jackman menjadi pelakon berkelas A di Hollywood.

Craig akan membuat penampilan terakhir sebagai James Bond dalam filem No Time To Die yang bakal ditayangkan pada Oktober.

Filem itu turut menampilkan aktres Lashana Lynch yang akan memegang watak sebagai ejen 007 wanita pertama. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram