HIBURAN merupakan antara perkara normal yang sangat diperlukan oleh setiap manusia di semua lapisan umur.
Bukan itu sahaja, trend hiburan boleh memberi pengaruh kuat terutama kepada kanak-kanak yang majoritinya terdedah dengan media sosial.
Maka, tidak hairanlah jika trend lagu 80-an berjudul Cintaku Sampai Ke Ethiopia kembali tular sehingga mendapat sambutan di beberapa sekolah tempatan.
Lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi Indonesia, Ria Resty Fauzi.
Ia terus menjadi buah mulut warganet selepas tularnya video memaparkan sekumpulan murid di sebuah sekolah di Putrajaya yang menyanyikan lagu tersebut dengan penuh gaya.
Pada awalnya, rata-rata netizen memberikan reaksi positif kerana menganggap ia suatu yang seronok untuk ditonton.
Namun, terdapat juga segelintir warga maya yang tidak bersetuju dengan tindakan pihak sekolah yang membenarkan perkara tersebut berlaku.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook Syahr Musafir, dia sedikit hairan dengan sambutan orang ramai yang menerima tindakan itu secara terbuka.
"Video ni tular sampai ratus ribu tontonan, tetapi saya tak nampak ada orang tulis kritikan. Ramai yang like pula tu. Jadi saya tulis sikit, boleh?
"Saya tahu akan ada orang yang tak setuju, saya dah bersedia dah. Saya kena tulis ni sebab saya yakin saya bukan tulis benda salah atau mengarut, jadi saya takkan perlu kisahkan orang yang tak setuju.
"Sebaliknya orang yang tak setuju perlu fahamkan saya ni tulis benda betul walaupun tak dipersetujui," tulisnya.
Tangkap layar video memaparkan persembahan murid sekolah yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, anak-anak perlu dididik jauh dan elakkan daripada topik cinta ketika berada di sekolah.
Baginya, lirik lagu tersebut juga sudah terang lagi bersuluh menunjukkan topik tentang percintaan manusia dan tidak memberi sebarang faedah untuk para pelajar.
"Saya dengar video ini, para pelajar diajar nyanyi lirik asal langsung tak diubah. Tak bagus langsung, walaupun melodi lagu ini catchy tetapi bukan tiket untuk halalkan lagu ini dinyanyikan apatah lagi oleh para murid sekolah rendah," tulisnya lagi.
Tambahnya, terdapat banyak lagi lagu lain yang sesuai untuk dinyanyikan oleh mereka seperti Fikirkan Boleh atau Standing In The Eyes of The World.
Sementara itu, ada juga segelintir warganet yang memberi pandangan agar pihak sekolah boleh menjadi lebih kreatif dengan mengubah lirik asal untuk kesesuaian murid jika mahukan melodi lagu asal.
"Tukar sahaja lirik, bagi sesuai dengan anak-anak," tulis Yanie Zainol.
"Ya, kalau kreatif memang bagus la, hanya ambil muzik dan buat lirik yang bersesuaian," komen Amatullah Juwairiah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram