Polis buru warga asing onani belakang rumah jiran di Shah Alam


  • 112
  • Jumaat, 29 Apr 2022

Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki melakukan onani di belakang sebuah rumah di Seksyen 23, Shah Alam.

POLIS memburu seorang lelaki yang dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh dengan beronani di belakang sebuah rumah akauntan wanita di Seksyen 23 Shah Alam, Selangor pada tengah malam Sabtu lalu.

Perbuatan lelaki yang dipercayai warga asing itu dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) jiran pemilik rumah berkenaan yang juga seorang akauntan wanita yang sudah bersuami dan mempunyai seorang anak.

Kejadian berkenaan berlaku sekitar pukul 12.06 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan daripada seorang wanita di Balai Polis Sri Muda, pada Rabu selepas mengetahui kegiatan tidak bermoral suspek melalui jirannya.

"Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan umpil bagi pecah masuk ke rumah mangsa.

"Rakaman CCTV tidak dapat memaparkan dengan jelas wajah suspek berikutan rakamannya hitam putih dan suspek disyaki bukan warga tempatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rakaman itu juga menunjukkan lelaki terbabit turut mengendap ke sebuah rumah dipercayai kediaman mangsa.

Mohd Iqbal berkata, usaha mengesan suspek giat dilakukan untuk siasatan kes mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Shamsul Azeerin di talian 012-9802652 atau 03-55202222 bagi membantu siasatan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram