'Apa bezanya biskut Hup Seng dengan rokok'


PRODUK biskut tempatan termasuk Hup Seng mempunyai purata acrylamide di bawah paras yang ditetapkan. — Gambar hiasan

KONTROVERSI biskut Hup Seng yang didakwa boleh menyebabkan kanser berikutan mempunyai acrylamide akhirnya dijawab oleh Kementerian Kesihatan pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, produk biskut tempatan termasuk Hup Seng, Jacobs dan Julie's mempunyai purata acrylamide di bawah paras yang ditetapkan oleh Peraturan Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata, penilaian risiko ke atas acrylamide dan glycidol dalam makanan yang dilakukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) juga menunjukkan bahawa risiko kesihatan terhadap bahan tersebut melalui pengambilan biskut juga adalah rendah.

Perkara itu sekali gus memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia khususnya penggemar biskut Hup Seng.

Namun, menariknya berlaku insiden sindir-menyindir dalam kalangan netizen apabila ada kumpulan warga maya yang memberi komen 'pedas' dengan mengatakan bahan karsinogenik sama juga didapati dalam rokok, malah mendatangkan mudarat yang lebih berbahaya kepada kesihatan.

hup seng 3

TANGKAP layar pendapat netizen yang menganggap rokok lebih berbahaya daripada biskut. — Facebook

Seorang pengguna Facebook, Nurulnadiah Maddin berkata, selain biskut, banyak lagi makanan lain yang boleh mendorong kepada kanser seperti kopi, roti, sate dan lain-lain.

"Disebabkan berita ini, ada yang sampai sanggup nak buang biskut yang dia dah beli tu dalam tong sampah.

"Duk la pung pang pung pang bukan main. Habis rokok yang tersentil dekat bibir tu kau ingat tak ada acrylamide? Tak jadi penyebab kanser?," sindirnya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Rebecca Ho berkata, asap rokok mengandungi lebih banyak komponen bahan karsinogenik daripada biskut.

"Baru- baru ini dikatakan biskut Oreo, Hup Seng and Jacobs mengandungi bahan karsinogenik tapi asap rokok mengandungi lebih (banyak) komponen sama. Selamba je saya tengok perokok tarik dan hembus," katanya.

Turut sependapat dengannya ialah Farah Ameera dengan berkata, rokok ada beratus-ratus racun di dalamnya pun masih ada orang yang hisap.

"Tenang je boss ku. Aku masih makan cheeskut ada Hup Seng. Still cicah Milo dengan Hup Seng," katanya.

hup seng 4

TANGKAP layar pendapat netizen yang menganggap rokok lebih berbahaya daripada biskut. — Facebook

Sementara itu, pengguna Facebook, Khairunnisa Hj Zaki berkata, kandungan acrylamide yang paling tinggi adalah dalam produk tembakau.

"Asap rokok sila jauhi. Itu yang mengandungi kandungan acrylamide paling tinggi," katanya.

Dia turut menjelaskan secara terperinci bagaimana acrylamide terbentuk dalam makanan.

"Tindak balas maillard adalah satu tindak balas yang membentuk acrylamide. Tindak balas antara asid amino dan gula seperti fruktoasa, glukosa dan sebagainya di bawah suhu panas akan membentuk acrylamide.

"Bukan dia (pengilang) bubuh acrylamide dalam biskut. Acrylamide ni bergantung kepada suhu," katanya lagi.

Khairunnisa berkata, pengguna sewajarnya mengamalkan pengambilan makanan seperti biskut itu secara berpada-pada seperti pesan Rasulullah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram