"Lecehnya ada check-out" - Ciri terbaharu MySejahtera tidak mesra pengguna


PENGGUNA mahu aplikasi MySejahtera lebih mesra pengguna untuk mengelak masyarakat daripada terbeban dengan SOP tambahan. — Facebook

PENGENALAN ciri-ciri baharu termasuk butang daftar keluar (check-out) pada aplikasi MySejahtera perlu lebih mesra pengguna untuk mengelak masyarakat daripada terbeban dengan prosedur operasi standard (SOP) tambahan.

Walaupun berpuas hati dengan ciri baharu yang memudahkan pengguna memaparkan status kesihatan dan vaksinasi mereka, ada juga netizen yang berpendapat bahawa keperluan untuk daftar keluar atau check-out satu-satu premis itu sebagai menyusahkan.

"Kadang-kadang dah masuk kedai beli barang, kalut nak balik, tangan kiri kanan pegang barang.

"Masuk kereta terus cepat-cepat nak balik, mana nak sempat tengok, pegang telefon untuk check-out.

"Sampai rumah dah lupa pasal MySejahtera," katanya.



ANTARA komen netizen yang tidak suka ciri terbaharu MySejahtera.

Ada juga di antara warga maya yang secara berseloroh mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan "reminder alarm" bagi mengingatkan pengguna untuk daftar keluar dari satu-satu premis yang telah dikunjungi.

"Sila tambah reminder atau alarm untuk ingatkan pengguna check-out dari MySejahtera," tulis pengguna Facebook AWah.

Rata-rata pengguna turut mencadangkan untuk MySejahtera ditambahbaik dengan ciri-ciri yang mana ia akan mendaftar keluar daripada satu-satu premis itu secara automatik apabila pengguna mendaftar di premis lain.

"Kalau seseorang itu check-in di lokasi lain, aplikasi seharusnya daftar keluar pengguna daripada lokasi sebelumnya secara automatik. Permudahkanlah," ujar Simon Lee.

Arvin KJ yang turut berkongsi pandangan yang sama berkata, pengguna mungkin tidak mempunyai masa untuk membuka app MySejahtera berulang kali.

Namun, ada juga yang memuji pengenalan butang daftar keluar terbabit kerana berpendapat ia dapat membantu kerajaan mengesan kontak rapat dengan lebih efisyen.

"Saya rasa tujuannya baik, kita boleh daftar keluar bila kita mendaftar satu-satu premis itu pagi dan sekiranya seseorang yang juga kontak rapat melawat ke premis tersebut pada waktu malam, bukan semua orang akan dikira sebagai kontak kasual?," katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, aplikasi MySejahtera akan melalui proses penambahbaikan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Katanya, butang daftar keluar yang ditambah ini bertujuan bagi menambah baik proses pengesanan kontak.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram