TIMBUL isu kontroversi apabila segelintir pihak membayangkan jika wanita diizinkan berkahwin lebih daripada dua seperti lelaki, seperti mana video yang tular di medial sosial.
Video tular itu mendapat perhatian ramai apabila rata-rata golongan wanita turut menyokong isu yang bertentangan dengan hukum agama itu.
Namun tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, sesuatu hal yang dilarang agama pasti memiliki sebab tersendiri.
Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berharap umat Islam lebih taat kepada Allah untuk mengelak isu mempersendakan agama berlaku.
Wan Salim berkata, wanita tidak dibolehkan berkahwin lebih daripada dua kerana lebih terdedah dengan masalah kelamin berbanding lelaki.
"Kalau wanita itu dikongsi bersama ramai lelaki akan menyebabkan mudah terkena penyakit kelamin yang sering dihidapi oleh orang yang melakukan seks bebas.
"Hal ini berbeza dengan lelaki kerana lelaki tidak memiliki masalah itu," katanya kepada Majoriti.
Antara video yang tular di media sosial membayangkan jika golongan wanita dibenarkan berpoligami.
Berdasarkan kajian pakar sebelum ini, antara faktor yang menyebabkan wanita lebih berisiko dijangkiti penyakit kelamin adalah kerana organ intim wanita mempunyai luas permukaan yang lebih besar berbanding lelaki.
Ia juga memudahkan bakteria atau virus yang menyebabkan jangkitan seksual mudah merebak.
Mengulas lanjut soal itu, Wan Salim berharap agar netizen terutama orang Islam agar mempertingkatkan hubungan dengan ALLAH supaya memiliki rasa takut untuk melawan hukum ALLAH.
"Semakin seseorang itu jahil, semakin dia berani lawan agama, jadi ilmu itu penting untuk bantu kita jadi lebih taat kepada hukum ALLAH," katanya.
Wan Salim turut berharap agar umat islam lebih rajin menghadiri majlis ilmu dan merujuk kepada ulama yang berwibawa.
"Ulama yang berwibawa maksudnya bila kita minta hukum dia mampu beri pendapat dengan menyebut berdasarkan ayat Al-Quran, bukan ulama yang sembarangan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram