
MUSIM perkahwinan kembali meriah selepas fasa peralihan endemik diumumkan oleh kerajaan pada 1 April lalu.
Justeru, pelbagai persoalan timbul dalam kalangan bakal calon suami isteri terutamanya mengenai hukum, jadi antara isu yang dibangkitkan oleh mereka termasuklah status wali bagi golongan janda.
Persoalan itu dibangkitkan oleh salah seorang pengguna media sosial di halaman kelab cari jodoh: Bujang @ Janda Duda Terlajak laris.
"Ada orang cakap, seorang janda tidak perlu wali jika ingin berkahwin. Betulkah wali hanya diwajibkan kepada anak dara?," tulisnya pada halaman itu.
Mengulas isu itu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, majoriti ulama mensyaratkan wali dalam akad nikah sama ada anak dara atau janda, kecuali Mazhab Hanafi yang tidak mensyaratkan wali.
"Pendapat majoriti itu dari segi dalil lebih kukuh, namun perincian perlaksanaan berlaku khilaf dalam kalangan ulama. Pendapat yang tidak mensyaratkan persetujuan wali pula berbeza tentang pendetilan bab tersebut.
"Apa yang menjadi pendapat terpilih dalam Mazhab Hanafi ialah jika wanita berkahwin tanpa wali dan suami itu sekufu, maka sah nikahnya. Jika tidak sekufu maka tidak sah. Pendapat lain pula, sah nikah sekiranya wanita itu memang tidak mempunyai wali, tetapi tidak sah jika dia mempunyai wali," kaanya pada laman sesawang agensi itu.
Firman ALLAH SWT yang mensyaratkan wali ialah; (maksudnya) “jangan kamu (wali-wali wanita) menghalang mereka mengahwini (bekas) suami-suami mereka..” — (Surah al-Baqarah ayat 232)
Dalam hadis pula Nabi SAW bersabda: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batil, nikahnya batil dan nikahnya batil”. — (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll. Sahih)
Malah, Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza turut menerangkan bahawa wali berperanan untuk menjaga keselamatan wanita apabila berkahwin, menjadi penghubung antara keluarga lelaki dengan wanita serta individu bergelar wali mempunyai hak dalam membuat persetujuan.
"Maka berdasarkan pendapat majoriti, wanita janda iaitu yang telah berkahwin dan bersetubuh tetap disyaratkan wali semasa akad nikah. Cumanya, berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW, wali tidak mempunyai hak untuk menentukan pilihan wanita janda.
"Seorang janda berhak sepenuhnya menentukan siapakah pilihannya dengan membuat persetujuan secara jelas. Maksudnya, walinya tidak boleh menikahkannya sekalipun dengan yang sekufu sehinggalah jelas dia bersetuju. Jika dia ingin berkahwin dengan seseorang, walinya hendaklah bersetuju.
"Jika wali enggan, seorang janda tetap berhak untuk berkahwin dengan wali yang lain, atau wali hakim," kata Dr Maza. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram