'Tiada agama atau kepercayaan yang galakkan judi dan arak'


  • Mukmin
  • Selasa, 16 Nov 2021

RIDUAN berharap Sanusi tetap dengan pendiriannya berhubung larangan kedai nombor ekor dan penjualan arak di Kedah. — Facebook

APABILA Menteri Besar Kedah membuat kenyataan mengenai larangan semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi dan membataskan penjualan arak, ada pihak yang bersetuju dan segelintir lagi sebaliknya.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah turut senada serta mengucapkan tahniah atas keberanian Muhammad Sanusi Md Nor.

"Rakyat Kedah patut berbangga dan bertuah mendapat negarawan seperti anda," ujarnya dalam kenyataan di portal Isma Web.

Menurutnya, tidak ada satu pun agama atau kepercayaan yang menggalakkan judi dan arak.

Ridhuan turut mengemukakan bukti menyokong hujahnya apabila memberitahu dalam agama Hindu juga menyatakan bahawa judi ternyata dilarang sama sekali.

Menurut beliau, kitab suci Manawa Dharmasastra buku IX (Atha Nawano dhyayah) sloka 221, 222, 223,224, 225, 226, 227 dan 228 jelas menyebut larangan tersebut.

"Kaki judi dan kaki minum arak digolongkan sebagai orang “sramana kota” (sloka 225). Disebut sebagai pencuri-pencuri (226) yang mengganggu ketenteraman hidup orang baik-baik. Judi menimbulkan pencurian (sloka 222) dan permusuhan (sloka 227) dan kejahatan (sloka 228)," katanya.

Menerusi perkongsiannya juga, Ridhuan memberitahu dalam agama Buddha pun sama melarang perkara ini apabila Digha Nikaya (kumpulan Digha) di kitab Sutta Pitaka dengan jelas melarang judi dan arak.

Malah, dalam agama Sikh pula, jelas beliau, catatan Guru Gobind Singh (guru ke-10), Dasam Granth yakni buku terakhir dalam kitab Guru Granth Sahib, juga menyenaraikan lima larangan asas Sikh iaitu tidak boleh potong rambut, tidak boleh berkelakuan buruk, tidak boleh merokok, tidak boleh makan daging yang disembelih dan tidak boleh minum minuman beralkohol.

"Bagaimana ada segelintir pihak boleh memperkatakan ia hak bukan Islam, sedangkan agama bukan Islam turut melarang keras judi dan arak.

"Saya harap MB Kedah tetap dengan pendirian, jangan mudah goyang dikecam dan dikritik oleh pihak lawan," ujar Ridhuan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram