
SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) telah menerima aduan terhadap pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung kejadian pukul dan kecederaan yang dialami oleh seorang klien ketika menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Negeri Pahang pada 2024.
EAIC berkata, siasatan ini dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].
Hasil siasatan mendapati wujud keterangan dan bukti yang menjurus kepada kejadian pukul tersebut berlaku sehingga menyebabkan kecederaan terjadi ke atas klien yang sedang menjalani rawatan pemulihan di pusat tersebut.
BACA LAGI: Masa berkuasa, Hamid Bador tidak ambil tindakan isu kartel PDRM — EAIC
BACA LAGI: AADK libatkan komuniti, ‘bottom up’ usaha perangi dadah
Pada masa sama, wujud kemungkinan unsur penyembunyian oleh pihak PUSPEN terhadap kejadian tersebut kerana pemakluman berkenaan dengan kecederaan oleh klien tersebut dibuat dalam tempoh masa yang tidak munasabah kepada pihak Ibu Pejabat AADK.
"Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan melibatkan pertama di atas kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selaras dengan peruntukan perenggan 30(1)(c) Akta 700 dengan cadangan untuk siasatan jenayah menurut seksyen 324 Kanun Keseksaan [Akta 574] atau mana-mana seksyen berkaitan dibuat ke atas suspek yang terlibat.
"Merujuk hasil siasatan melibatkan kedua di atas Pihak Berkuasa Tatatertib AADK untuk syor hukuman tatatertib terhadap pegawai terbabit di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], susulan kesalahan ingkar perintah sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan yang sama." kata EAIC dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada masa sama, EAIC juga mengesyorkan pemasangan CCTV dibuat di dalam kawasan PUSPEN bagi memastikan keselamatan klien yang menjalani pemulihan.
Sementara itu, dalam kes berlainan, EAIC menerima aduan mengenai pegawai AADK di Selangor gagal mengambil tindakan susulan selepas seorang individu didapati positif dadah di hospital awam.
Siasatan mendapati pegawai AADK cuai dalam memastikan individu itu menandatangani Surat Perjanjian dan Jaminan selepas dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah, menyukarkan agensi itu mengesan individu itu apabila dia tidak pulang mengikut keperluan.
EAIC juga mendapati bahawa percubaan untuk menjejaki individu itu kurang didokumentasikan dan kekurangan bukti konkrit.
Walaupun beberapa operasi didakwa telah berlaku, tiada bukti sebarang usaha tertumpu untuk mengesan orang terbabit.
Suruhanjaya seterusnya menyatakan kekurangan penyeliaan oleh pengurusan AADK peringkat daerah, yang membawa kepada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan kegagalan mematuhi perintah tetap berkaitan jaminan dan pengurusan kes.
Akibatnya, kes itu masih belum selesai.
Selain itu, EAIC menekankan kelemahan dalam prosedur agensi untuk mengesan pengguna dadah yang gagal melaporkan diri, khususnya mengenai hak dan kaedah memasuki premis untuk membuat tangkapan.
Kes itu juga telah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK, dengan syor untuk tindakan tatatertib di bawah peraturan perkhidmatan awam.
EAIC juga menasihatkan ketua pengarah AADK supaya memperkukuh SOP untuk tindakan penguatkuasaan, terutama dalam mengendalikan pengguna dadah yang disyaki yang gagal memberi kerjasama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram