
MENTERI Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan beliau sudah melaksanakan tugas terakhirnya di pejabat Kementerian Ekonomi pada Khamis dan hari ini (Jumaat), termasuk menyempurnakan urusan mengemas pejabat sebelum secara rasmi menamatkan perkhidmatannya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Rafizi turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada pasukan pegawai dasar yang banyak membantu merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif ekonomi sepanjang beliau memegang portfolio tersebut.
Menurut Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu, lima pegawai berkenaan merupakan individu yang beliau sendiri pujuk untuk meninggalkan kerjaya masing-masing demi berkhidmat bersama di kementerian.
BACA LAGI: Rafizi keluarkan formula baharu
BACA LAGI: 'Lebih layak dan berpengalaman', Johari Abdul Ghani diramal bakal ganti Rafizi
"Mereka adalah pegawai-pegawai dasar dalam pasukan saya yang saya pujuk untuk meninggalkan kerjaya masing-masing sebelum ini dan berkhidmat di pejabat saya.
"Dari cili kepada semikonduktor, kepada ekosistem syarikat pemula, JSSEZ, NETR, kepada gaji progresif sehinggalah RMK13, mereka banyak menterjemah idea-idea saya sehingga mula boleh dilaksanakan. Kini mereka akan kembali ke bidang masing-masing," katanya memetik hantaran di laman Facebook pada Jumaat.
Lima individu yang menjadi tulang belakang Rafizi ialah Dr. Azraai Bahari Nasruddin, Benjamin Quek, James Chai, Ismat Qayyum dan Haqimi Zamri.
"Saya banyak belajar dari mereka, mungkin lebih dari mereka belajar dari saya. Terima kasih dari saya kepada doktor pakar endokrinologi lulusan University of Cambridge, Dr Azraai Bahari Nasruddin dengan lulusan tambahan dalam Informatics dari UCL. Ijazah kelas pertama. Berkhidmat lama di UK sebelum kembali ke Malaysia tahun 2014.
"Seterusnya, lulusan perbankan dan kewangan dari Monash University dan MSc dalam Applied and Computational Mathematics, John Hopkins University, Benjamin Quek yang sebelum ini seorang pengurus dana.
"Pelajar terbaik undang-undang dari University of London dan sarjana undang-undang dari University of Oxford, James Chai, ijazah kelas pertama. Sebelum ini kerjaya undang-undang dan dalam bidang teknolofi juga seorang penulis buku.
"Lulusan PPE (Politics, Philosophy and Economy) dari London School of Economics (LSE), Ismat Qayyum juga pemegang ijazah kelas pertama. Sebelum ini di sektor perbankan dan Haqimi Zamri yang berkelulusan Politik and Hubungan Antarabangsa dari University of Nottingham. Sebelum ini mengusahakan perusahaan sosial pada usia yang muda," ujarnya.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menjadi perhatian ramai apabila menghadiri majlis Royal Selangor Eco Week 2025 di Royal Selangor Visitor Centre di ibu negara, pada Jumaat.
Sebaik selesai majlis, beliau yang ditemui media untuk mendapatkan komen mengenai kenyataan Perdana Menteri yang dilapor 'belum terbuka hati' meluluskan permohonan peletakan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dengan selamba menjawab: "No comment (tiada komen)"
Jelas Nik Nazmi, kehadirannya atas undangan sebelum peletakan jawatan sebagai menteri, selain tampil atas kapasiti sebagai wakil rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya datang majlis yang sudah dirancang waktu saya belum hantar surat letak jawatan dan kebetulan di dalam kawasan saya," katanya.
Pada Khamis, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata, 'belum terbuka hati' untuk meluluskan permohonan peletakan jawatan dua menteri parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi.
Anwar dilapor masih mempertimbang dan memberi ruang kepada kedua-dua menteri berkenaan memikirkan semula permohonan itu.
Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi mengumumkan meletak jawatan sebagai menteri, berkuat kuasa 4 Julai ini.
Pengumuman itu dibuat kira-kira tiga jam selepas Rafizi meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram