KERAJAAN bersetuju untuk memberikan tol percuma selama dua hari kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja iaitu pada 8 dan 9 April depan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu adalah sebagai meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat beragama Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Jelasnya, pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
“Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya yang bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 8 April 2024 dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 9 April 2024.
“Melalui inisiatif ini kerajaan memperuntukkan bayaran pampasan dengan anggaran berjumlah RM37.60 juta.
“Pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram