BENTENG Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan dilaporkan pecah sejak Selasa.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mendapat maklumat mengenai kejadian itu, namun belum dapat pergi ke lokasi untuk mengesahkannya memandangkan paras air di sekitar kawasan berkenaan yang tinggi.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Tersang, Rantau Panjang, Mohd Hirwan Rajiuo, 42, yang sempat ke lokasi pagi Rabu ketika ditemui berkata, dia melihat sendiri benteng pecah yang mengakibatkan air dari Sungai Lanchang mengalir keluar laju ke arah Sungai Golok.
Pada Selasa, Sungai Golok merekodkan bacaan 11.03 meter melebihi paras bahaya 9 meter, dan ia merupakan rekod tertinggi berbanding 10.84 meter pada 2014.
Sementara itu, kejadian seperti itu turut pernah dilaporkan berlaku pada 2022 yang sekali gus menjejaskan kawasan perumahan penduduk di kawasan terbabit. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram