KEMENTERIAN Kesihatan sedang giat melaksanakan sesi libat urus dan literasi bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis), Dewan Negara diberitahu pada Isnin.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sesi libat urus bagi mendapatkan pandangan dari sudut agama berhubung penggunaan ubat-ubatan dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan HIV itu, turut melibatkan pegawai jabatan agama Islam peringkat Persekutuan dan negeri.
"Kita sedang mengadakan sesi libat urus yang sangat aktif dan setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad mengenai hukum penggunaan PrEP.
"Namun, kementerian melihat agihan PrEP menyaksikan peningkatan impak lebih positif dari aspek kesihatan klien yang mengambil ubatan itu,” katanya ketika sesi soal jawab.

Lukanisman Awang yang menyatakan tentang perkara tersebut. — Bernama
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Husain Awang yang ingin tahu status terkini pelaksanaan projek rintis penggunaan ubat PrEP dan perbincangan dengan Jakim berhubung penggunaan ubatan itu.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata setakat 31 Oktober lepas, sebanyak 3,041 individu telah menerima ubat PrEP sejak projek rintis melibatkan 18 klinik kesihatan itu dimulakan pada Januari.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 50 orang adalah pasangan serodiscordant yang terdiri daripada 30 wanita dan 20 lelaki, sementara 2,947 merupakan kumpulan berisiko seperti transgender, manakala baki 44 individu tidak menyatakan kumpulan risiko.
"Berdasarkan analisis awal, hingga bulan keenam penggunaan ubat ini menunjukkan penurunan kadar jangkitan penyakit sifilis iaitu daripada 14 peratus kepada enam peratus, manakala peratusan klien yang tidak menggunakan kondom jangkitan menurun daripada 14.9 peratus kepada 1.7 peratus,” katanya.
Lukanisman berkata, peratus klien yang mempunyai pelbagai pasangan seksual jangkitan juga menurun kepada 7.3 peratus daripada 39.7 peratus dan terdapat 22 klien telah berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko.
Projek rintis penggunaan ubat PrEP dilaksanakan bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan HIV, dengan pengambilan mengikut preskripsi yang ditetapkan kementerian kesihatan dikatakan mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV menerusi seks kira-kira 90 peratus. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
