Garis panduan pakaian patuh syariah atlet akuatik dan gimrama SUKMA, Kelantan bincang dengan MSN, KBS


  • Primer
  • Isnin, 27 Nov 2023

Terdapat acara-acara sensitif yang perlu dibincangkan melibatkan pemakaian secara patuh syariah seperti akuatik dan gimrama bagi temasya SUKMA 2028 yang akan dianjurkan di Kelantan. — Gambar hiasan/Bernama

KERAJAAN Kelantan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung garis panduan pakaian sukan patuh syariah bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang bakal dianjurkan negeri itu.

"Terdapat acara-acara sensitif yang perlu dibincangkan melibatkan pemakaian secara patuh syariah seperti akuatik dan gimrama, oleh itu kerajaan negeri akan membincangkan perkara ini dengan kementerian," kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Zamakhshari Muhamad.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Rodzi Ja'afar (PAS- Gaal) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

Mohd Rodzi mahu tahu adakah kerajaan boleh memastikan atlet-atlet daripada negeri lain yang menyertai SUKMA juga patuh syariah.

Zamakhshari berkata, usaha itu turut dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Beliau berkata, kerajaan Kelantan juga akan memanfaatkan peruntukan RM276 juta daripada kerajaan Pusat antaranya untuk membina enam fasiliti di Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh dan sebuah pusat akuatik di Madinah Al-Salam, Tunjong. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram