ADUAN orang awam berhubung Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) disyaki menaiki kenderaan atau bas pekerja tanpa memiliki dokumen pengenalan diri sah telah membawa kepada penahanan beratus-ratus orang warga asing.
Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menahan seramai 377 orang PATI dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Putrajaya pada Khamis.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pemeriksaan telah dibuat kepada 600 orang warga asing di sekitar jalan Putrajaya.
"Terdapat dua checkpoint pemeriksaan oleh JIM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di jalan utama untuk masuk ke Putrajaya dari arah Kajang dan Bangi," katanya.
Ruslin berkata, PATI yang ditahan berumur antara 25 hingga 55 tahun dengan mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.
Menurut Ruslin lagi, seramai 250 orang merupakan PATI perempuan dan 127 orang PATI lelaki yang kesemuanya terdiri daripada warganegara Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan, India dan Sri Lanka.
"Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Jabatan ini mengingatkan semua majikan supaya tidak mengajikan PATI. Sekiranya mereka masih berdegil menggunakan PATI sebagai pekerja, majikan akan dikenakan tindakan tegas iaitu ditangkap dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan hukuman dengan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang digajikan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram