Niat mahu buang santau, remaja 15 tahun dirogol bomoh di Muar


  • 112
  • Ahad, 29 Okt 2023

Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pelajar berkenaan memaklumkan dia dirogol ketika proses perubatan dilakukan di sebuah kawasan terpencil Muar, Johor.

SEORANG remaja mendakwa dirogol oleh seorang pengamal perubatan sehingga hamil dalam kejadian di rumah lelaki terbabit di sebuah kawasan terpencil Muar, Johor pada tahun lalu dan tahun ini.

Kejadian itu terjadi ketika remaja berumur 15 tahun itu berhasrat untuk berjumpa pengamal perubatan bagi mendapatkan rawatan untuk membuang santau.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian menimpa mangsa berusia 15 tahun itu, berlaku pada November 2022 dan April lalu.

Beliau berkata, semua kejadian berlaku ketika mangsa mendapatkan rawatan dengan suspek berusia 50 tahun.

"Remaja berkenaan memaklumkan dia dirogol ketika proses perubatan dilakukan. Pada 27 Oktober lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima satu laporan kejadian itu.

"Mengikut keluarganya, mereka mahu mendapatkan rawatan kerana mangsa dan sekeluarga sering sakit dipercayai terkena santau.

"Mangsa mengetahui dirogol apabila mendengar sesi ceramah jenayah seksual di sekolah pada September lalu, selain tidak didatangi haid," katanya.

Katanya lagi, mangsa memberitahu kejadian itu pada ibunya dan membawa pemeriksaan kesihatan sebelum disahkan mengandung.

"Polis menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram