[VIDEO] 'Hey bangun!', orang awam cemas cuba keluarkan 2 budak tak sedarkan diri dalam kereta


  • Tular
  • Ahad, 08 Okt 2023

Tangkap layar kejadian kanak-kanak yang ditinggalkan dalam kereta dipercayai terjadi pada malam Sabtu.

TULAR satu rakaman menunjukkan dua orang kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan di dalam kereta selepas dipercayai terperangkap dalam kenderaan yang berkunci itu.

Difahamkan, kejadian berlaku pada malam Sabtu, namun, lokasi sebenar kejadian tidak dapat disahkan.

Menerusi satu rakaman yang dimuat naik di laman X (Twitter), kelihatan dua orang kanak-kanak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di kerusi hadapan bersebelahan bahagian pemandu.

"Dah banyak kes jadi pun, masih lagi ada ibu bapa yang tinggal anak dalam kereta. Harap semua baik-baik sahaja," tulis @localrkyt.

Cemas melihat keadaan kanak-kanak itu, orang ramai bertindak menggoyang badan kereta itu sebagai usaha mengejutkan kedua-dua kanak-kanak malang berkenaan.

Orang awam juga kedengaran menjerit 'hey bangun' untuk melihat kalau-kalau mereka masih boleh memberi sebarang respons atau tidak.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu tidak memberi sebarang tindak balas dan hanya terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Orang awam yang berada di sekitar kawasan mengepung kereta itu dan cuba mencari pemilik kenderaan.

Menjengah ke ruang komen, rata-rata warganet bimbang kes berpunca kecuaian ibu bapa yang mengakibatkan nyawa kanak-kanak tergadai semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Yang kes bayi baru lahir tu kita fahamlah ibu dia lupa, yang ini anak dah besar takkan lupa?," tulis Alissa Alias.

"Apa jadi lepas ini? Sedihnya tengok video ini. Baru sahaja baca berita bayi jururawat tertinggal dalam kereta, ada lagi kes sebegini," tulis The Dyanies.

"Ini masa yang sesuai untuk saman ibu bapa yang tak bertanggungjawabb. Makin menjadi setiap hati dan semakin banyak kes untuk dijadikan pengajaran. Kalau kat luar negara dan kena tindakan," kata Siddiq.

Bagaimanapun, masih tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan dengan kejadian tersebut setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram