Alat masak simpan dalam tandas, premis Pasir Puteh diarah tutup 14 hari


  • Primer
  • Khamis, 21 Sep 2023

JKNK Kelantan berkongsi salah satu tindakan peniaga makanan yang meletakkan peralatan memasak di dalam tandas.

JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah mengarahkan lapan premis makanan di Pasir Puteh, Kelantan ditutup 14 hari, selepas didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan dalam Operasi Bersepadu Premis Bersih pada Rabu.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sebanyak 109 notis di bawah Seksyen 32B turut dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan, selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 52 premis makanan dan restoran di Kota Bharu.

"Pemeriksaan membabitkan 77 orang kakitangan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNK kali ini memberi keutamaan bagi premis makanan di kawasan bandar, jalan-jalan utama dan sempadan Pasir Puteh yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Hasilnya lapan premis telah didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang telah ditetapkan dan telah diarahkan ditutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Dr Zaini berkata, pemilik premis makanan yang tidak mematuhi perintah penutupan itu boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

"JKNK ingin menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis makanan dan pengendali premis makanan untuk memastikan premis mereka bersih pada setiap masa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JKNK sentiasa peka dan mengambil berat isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan di negeri ini, selain menasihatkan orang ramai supaya memilih premis makanan yang bersih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram