Bukit Aman tunggu siasatan menyeluruh dakwaan wartawan wanita dikasari 'bodyguard' menteri — Ayob Khan


  • 112
  • Isnin, 11 Sep 2023

Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah jabatan JIPS berkenaan dakwaan pengawal media dikasari seorang pengawal peribadi menteri.

JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan menunggu sisatan dalaman secara menyeluruh mengenai dakwaan dua pengamal media yang dikasari seorang pengawal peribadi menteri di Johor baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah jabatan tersebut.

“Jadi kita akan tunggu hasil siasatan, dan lihat apa tindakan perlu diambil.

"Kami perlu mendengar kedua-dua pihak mengenai apa yang berlaku," katanya pada Isnin.

Tambah Ayob Khan lagi, dia difahamkan bahawa menteri tersebut sedang berjalan ke arah kenderaannya, dan media berada di belakang.

“Skop tugas pengawal peribadi adalah untuk memastikan laluan yang dilalui menteri tersebut tiada halangan untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dan sebagainya.

"Jadi pada masa yang sama, (memandangkan) keghairahan pengamal media untuk mendapatkan komen, beberapa bentuk insiden boleh berlaku. Sehubungan itu lebih baik tunggu hasil siasatan yang sepenuhnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis telah memanggil saksi berhubung dakwaan gangguan itu.

Pada Jumaat, media melaporkan dua wartawan wanita mendakwa menjadi mangsa kekasaran pegawai pengiring seorang menteri ketika liputan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru pada 5 September lalu. — The Star/ MANJIT KAUR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram