ALLAHYARHAM Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, penunggang p-hailing yang terkorban dalam nahas kapal terbang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam Khamis lalu, bekerja keras untuk membantu persiapan kenduri kahwin adik perempuannya yang dijadualkan pada 26 Ogos ini.
Perkara itu didedahkan rakannya yang juga seorang penunggang p-hailing, Mohd Rosmaini Sahlan, 42, yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang rajin dan kuat bekerja.
"Arwah hari-hari keluar bekerja pukul 8 pagi hingga 10 malam, dia memang jenis pulun kerja, siang malam, siang malam.
"Dia pernah cerita tidak lama lagi adik (perempuan) dia hendak kahwin jadi, dia kumpul duit untuk tambah perbelanjaan (kenduri) adik dia,” katanya ketika ditemui selepas solat jenazah Allahyarham Muhammad Hafiz di Masjid Jamek Ar Rahimiah di sini hari ini.
Mohd Rosmaini berkata Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Apit juga dilihat kurang ceria dan banyak menyendiri beberapa hari sebelum nahas itu berlaku.
"Sebelum kejadian, dia memang agak pelik sebab tak berapa nak ceria, senyap sahaja, macam bukan dia,” katanya.
Jenazah penunggang Muhamad disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang, Selangor pada Sabtu. — Bernama
Sementara itu, seorang lagi rakan Muhammad Hafiz, Khairul Azmi Mohd Hamid, 34, berkata Allahyarham seorang yang peramah dan tidak berkira dengan rakan-rakan.
"Semua orang senang dengan arwah, kami semua tidak ada masalah dengan dia. Apa-apa masalah boleh sembang, dia jenis tidak banyak mulut dan kawan-kawan baru (menjadi rider) pun selesa dengan dia.
"Tanpa Apit semestinya sedikit berbeza, kami pasti akan rindu dia. Kami masing-masing tidak ada kekuatan nak ke tempat lepak kami (kawasan tempat penunggang p-hailing menunggu tempahan) di Subang Bestari,” katanya.
Tragedi yang berlaku pada pukul 2.48 petang itu menyaksikan sebuah pesawat peribadi terhempas dan mengorbankan 10 individu termasuk lapan penumpang dan kru pesawat selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram