Macam tahu ajal dah sampai, pemandu bas minta tukar 'driver' sebelum meninggal dunia


  • 112
  • Rabu, 28 Jun 2023

Tangkap layar rakaman tular mayat mangsa dibawa turun daripada bas. — Twitter

SEORANG pemandu bas ekspres ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah bas akibat paru-paru berair ketika berhenti di Hentian Gua Musang, Gua Musang, Kelantan pada Selasa.

Dalam kejadian pada pukul 2.20 pagi itu, Awang Mat Adam, 55, yang berasal dari Kota Bharu ditemukan tidak sedarkan diri di kerusi penumpang di dalam bas terbabit.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pemandu bas berkenaan kejadian terbabit.

"Berdasarkan keterangan saksi iaitu pemandu bas utama, bas terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu.

"Mangsa yang juga pemandu simpanan sepatutnya bertukar pemandu di Gua Musang tetapi atas permintaannya kerana mengadu tidak sihat, pertukaran pemandu dibuat di Raub, Pahang.

"Lelaki itu duduk dan berehat di tempat duduk kosong dalam bas terbabit dan apabila sampai di Hentian Gua Musang, saksi mendapati mangsa meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Choon Foo, mangsa juga menghidap penyakit kencing manis sejak berbelas tahun dan pernah menjalani pembedahan disebabkan radang paru-paru empat tahun yang lalu.

"Berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan keterangan saksi, tiada unsur-unsur perlakuan jenayah yang menyebabkan kematian.

"Hasil bedah siasat dijalankan di Hospital Gua Musang mendapati punca kematian ialah 'Acute Pulmonary Edema'.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada sebarang unsur jenayah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram