
SEPASANG suami isteri ditahan selepas pada Khamis selepas aksi 'wheelie' yang dilakukan di Jalan Pasir Puteh, Peringat, Kelantan tular baru-baru ini.
Pasangan yang berusia 16 dan 17 tahun itu menyerah diri pada pukul 10 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, sebelum itu pasangan suami isteri terbabit bertindak menghilangkan diri selama dua hari selepas diburu pihak polis.
"Mereka kini dalam proses permohonan reman pada Jumaat untuk siasatan lanjut.
"Kes akan disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara merbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Ujarnya, jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000, tidak lebih daripada RM15,000.
Sebelum ini Majoriti melaporkan polis giat mengesan penunggang motosikal yang melakukan aksi 'wheelie' sambil membonceng seorang wanita susulan video perbuatan itu tular di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram