Abai 5 ekor kucing hingga mati, penyewa durjana kondominium di Bandar Sri Permaisuri dijel 2 tahun


Lim Chia Lin (jaket hijau) mengaku bersalah atas pertuduhan mengabaikan lima ekor kucing peliharaannya sehingga mati kebuluran. — Facebook

SEORANG jurujual dihukum penjara dua tahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pada Selasa atas tuduhan mengabaikan lima ekor kucing peliharaannya sehingga mati kebuluran dalam sangkar selepas pulang ke kampungnya di Sarawak, tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Chia Lin, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara setahun jika gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa sebagai penjaga lima ekor kucing di dalam kurungan didapati melakukan perbuatan itu sehingga menyebabkan kematian haiwan tersebut yang bangkainya ditemukan di sebuah unit kondominium yang disewanya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, antara 14 Jun dan 3 Julai tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM25,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan dengan alasan dia masih bujang dan berpendapatan RM1,500 sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, memohon hukuman berbentuk pemenjaraan kerana perbuatan tertuduh tidak menyediakan makanan dan minuman menyebabkan kucing-kucing itu mati kebuluran.

"Tertuduh pulang ke Sarawak pada Jun tahun lepas dan selama sebulan, kucing-kucing itu tidak diberikan makanan dan minuman sehingga menyebabkan mati kebuluran. Dia sepatutnya menyediakan makanan yang mencukupi sebelum pergi ke Sarawak.

"Tertuduh juga tidak mengambil langkah proaktif untuk menanam bangkai-bangkai kucing itu malah membiarkan bangkai itu di rumah berkenaan sehingga menyebabkan masalah bau yang busuk. Kes ini mendapat perhatian masyarakat terutamanya pencinta kucing," katanya.

Mengikut fakta kes, pada 11 Mac lepas, pengadu iaitu pemilik rumah yang didiami tertuduh menerima aduan daripada penduduk bahawa rumahnya yang disewakan kepada tertuduh berbau busuk seperti bau bangkai haiwan.

Susulan aduan itu, pemilik rumah berkenaan pergi ke rumahnya dan mendapati ada beberapa bangkai kucing dalam sangkar yang diletakkan di luar pintu rumah berkenaan.

Pengadu menasihati tertuduh untuk membuang sangkar itu supaya tidak ada lagi aduan daripada penghuni kondominium itu.

Dua hari kemudian, pengadu pergi ke rumah berkenaan untuk meminta wang sewa yang tertunggak selama sebulan, namun pintu rumah tidak berkunci dan tertuduh sedang tidur di dalam biliknya.

Pengadu bersama pengawal keselamatan kemudian memeriksa rumah sebelum mendapati ada bangkai dipercayai kucing dan bau busuk di bahagian dapur berpunca daripada daging kisar dalam baldi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram