Pembangunan sebelah landasan tanpa rujuk APAD rosakkan struktur jambatan LRT


  • Primer
  • Jumaat, 27 Jan 2023

Perkhidmatan LRT Laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kelewatan disebabkan penjajaran landasan bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

KERJA pembangunan berdekatan yang dijalankan tanpa sebarang rundingan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dipercayai menyebabkan kerosakan pada struktur jambatan landasan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang.

APAD dalam satu kenyataan berkata, pemerhatian awal pihaknya mendapati kerja pembangunan terbabit dijalankan bersebelahan landasan kereta api dan dalam kawasan Rizab Kedua LRT.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kerja pembangunan itu dijalankan tanpa sebarang perundingan dengan APAD mengikut Peraturan-Peraturan Kereta Api ( Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [ P.U. (A) 367].

"APAD memandang serius isu ini dan sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya insiden itu," katanya.

Tambah kenyataan itu, sebagai langkah keselamatan selaras dengan Peraturan 8 P.U.(A) 367, APAD mengesyorkan kerja pembangunan itu dihentikan serta-merta.

"APAD akan mengesyorkan kepada Datuk Bandar bagi penggantungan serta-merta pembangunan dan aktiviti terhad di zon perlindungan kereta api terbabit sehingga punca sebenar diketahui dan segala aspek serta keperluan keselamatan dipatuhi oleh pemilik projek.

"Prasarana sudah diminta menyediakan alternatif perkhidmatan mencukupi bagi menampung jumlah penumpang yang tinggi terutamanya di waktu puncak, termasuk membuat pemakluman secara berterusan kepada orang awam," katanya.

Seterusnya, APAD akan terus memantau perkembangan gangguan perkhidmatan kereta api termasuk alternatif perkhidmatan yang disediakan sehingga keadaan kembali pulih.

Terdahulu, perkhidmatan LRT Laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kelewatan disebabkan penjajaran landasan bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menerusi kenyataan berkata, hasil pemerhatian awal mendapati kelewatan LRT berpunca daripada kerosakan struktur jejambat akibat daripada kerja pembinaan bersebelahan kawasan itu.

"Rapid Rail bersama pakar struktur berada di kawasan terbabit bagi menilai serta memastikan keselamatan juga kekukuhan struktur.

"Pihak kami membuat keputusan untuk menutup laluan di antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya sehingga keselamatan dan kekukuhan dapat dipastikan, " kata kenyataan itu.

Berikutan itu, operasi LRT Ampang dijalankan dengan kelajuan yang berkurangan dan akan menyebabkan kelewatan sebanyak sembilan minit di dalam daerah pusat perniagaan dan 18 minit di luar daerah perniagaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram