Tukang masak maut bungkusan misteri atas bonet kereta meletup di Pandan Indah


  • 112
  • Jumaat, 30 Dis 2022

Polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.

SEORANG tukang masak di sebuah restoran maut selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup di Jalan Pandan Indah 12/1, Pandan Indah, Ampang, Selangor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan ada bunyi letupan di tempat kejadian yang berlaku pada pukul 8.55 malam.

"Mangsa seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun mengambil satu bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis. Apabila mangsa memegang bungkusan itu terus berlaku letupan dipercayai daripada bungkusan berkenaan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan telah dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam di hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Farouk berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.

Mengulas sama ada di lokasi kejadian mempunyai rakaman kamera litar tertutup, beliau enggan mengulas lanjut dan siasatan masih dilakukan.

"Motif kejadian berkenaan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, bungkusan, letupan, tukang masak, maut, kereta